BERITA SEMASA

Polis buru tahanan warga Pakistan lolos Penjara Sungai Buloh

KUALA LUMPUR – Polis melancarkan operasi memburu seorang tahanan reman warga Pakistan yang meloloskan diri dari Penjara Sungai Buloh.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, lelaki berusia 24 tahun itu dilaporkan melarikan diri dari fasiliti berkenaan semalam.

Menurutnya, pihak polis kini giat menjalankan operasi bagi mengesan dan menahan semula suspek, termasuk mempergiatkan usaha di kawasan sekitar serta melalui pelbagai kaedah lain.

“Polis sedang giat menjalankan operasi mengesan suspek dan orang ramai diminta tampil menyalurkan maklumat sekiranya mempunyai sebarang maklumat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Suspek, dikenali sebagai Muhammad Hassan, dilaporkan berdepan pelbagai pertuduhan termasuk di bawah Kanun Keseksaan serta Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Antara kesalahan yang dihadapinya termasuk berkaitan rompakan dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Tambah Mohd Hafiz, suspek mempunyai rekod kesalahan seksual melibatkan kanak-kanak dan orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada.

Menurutnya, suspek kali terakhir dilihat memakai baju-T berwarna oren dan seluar panjang hitam.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat atau Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh bagi membantu siasatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button