Kes anak Rafizi diserang: Polis peroleh petunjuk positif selepas teliti rakaman CCTV
KUALA LUMPUR – Polis menemukan beberapa petunjuk positif bagi mengesan suspek kes serangan terhadap anak lelaki Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya, Rabu lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, petunjuk berkenaan diperoleh hasil penelitian dan semakan terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan terbabit.
“Terdapat petunjuk pada rakaman CCTV namun tidak sepenuhnya pada waktu ini,” katanya memetik laporan BERNAMA hari ini.
Beliau berkata, setakat ini 14 individu dipanggil bagi membantu siasatan kes itu.
Pada masa sama, Shazeli berkata, pihaknya turut menjalankan siasatan berhubung mesej ugutan yang diterima isteri Rafizi berkait insiden terbabit dan mengesahkan kali pertama isteri bekas Menteri Ekonomi itu menerima mesej terbabit melalui aplikasi WhatsApp.
Laporan berhubung ugutan itu juga sudah dibuat oleh isteri Rafizi dan siasatan sedang dijalankan dengan bantuan agensi berkaitan termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi mengesan pihak bertanggungjawab.
Rabu lalu, media melaporkan polis mengesahkan anak bekas timbalan presiden PKR itu diserang dalam kejadian kira-kira 2 petang, di kawasan mengambil dan menurun penumpang, sebuah pusat beli-belah di Putrajaya.
Rafizi mendakwa serangan itu membabitkan dua lelaki berpakaian hitam serta bertopi keledar yang menaiki sebuah motosikal dengan seorang daripadanya mengheret anaknya sebelum mencucuk sesuatu menggunakan jarum suntikan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








