Pemandu 4WD himpit, ancam pemandu Myvi dicari polis
KLANG – Polis sedang mengesan seorang pemandu kenderaan pacuan empat roda (4WD) selepas menghimpit dan mengancam pemandu kereta lain di Lebuh Raya Selat Klang Utara di sini.
Ketua Polis Daerah Klang Utara Aissten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 6.15 petang kelmarin melibatkan dua buah kenderaan.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati kenderaan 4WD itu dipandu seorang lelaki telah menghimpit dan melanggar sebuah kereta lain ketika laluan sesak di lokasi kejadian.
“Lelaki itu juga bertindak mengancam pemandu kereta berkenaan berusia 55 tahun sebelum melarikan diri dari tempat kejadian.
“Anggota trafik yang berada dilokasi tidak sempat menahan suspek kerana sedang membuat kawalan ‘point duty’,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu tular dua video masing-masing berdurasi lebih seminit dan tiga minit melibatkan seorang individu yang dilihat menumbuk cermin bahagian pemandu kereta jenis Perodua Myvi dan bertindak kasar ketika dileraikan seorang anggota polis.
Dalam pada itu beliau menambah, pemandu kereta berkenaan tidak mengalami kecederaan dan tidak mahu memanjangkan kes serta hanya ingin membuat tuntutan insurans kemalangan sahaja.
Tegasnya, pihak polis bagaimanapun akan mengesan suspek untuk siasatan lanjut dengan kes disiasat di bawah Peraturan 10 dalam Peraturan-Peraturan Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).
“Justeru, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Sarjan Amsyairul Jamsaril di talian 0135112603 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








