90 PATI ditahan dalam serbuan di Jalan Klang Lama
KUALA LUMPUR – Seramai 90 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan besar-besaran di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, selepas didapati tinggal secara haram, melebihi tempoh pas sah dan menyalah guna dokumen imigresen.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi tersebut dijalankan pada jam 9.40 malam semalam susulan aduan awam dan risikan selama dua minggu oleh Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat JIM Putrajaya, dengan 99 pegawai pelbagai pangkat digerakkan ke lokasi berkenaan.
“Hasil pemeriksaan terhadap 131 individu, seramai 90 PATI berusia antara 21 hingga 35 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Zakaria, mereka yang ditahan terdiri daripada warganegara Nigeria, Yemen, Syria, Somalia, Guinea-Bissau, Sierra Leone, Liberia, Mali, Indonesia, Myanmar, Bangladesh, Vietnam, Thailand, Pakistan, Sri Lanka dan India.
“Kesalahan yang dikenal pasti termasuk tinggal lebih masa, tidak memiliki dokumen perjalanan sah serta menyalah guna pas.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya lagi.
Selain itu, satu saman saksi (Borang 29) turut dikeluarkan terhadap pemilik sebuah restoran di lokasi berkenaan bagi membantu siasatan lanjut.
Beliau berkata, modus operandi PATI adalah berselindung di sebalik pas tamat tempoh dengan menjalankan perniagaan kecil-kecilan di kawasan terbuka seperti parkir kenderaan serta menjadikan premis makanan sebagai tempat berkumpul dan berhibur hingga lewat malam.
Kesemua yang ditahan kini ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen KLIA di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan dan tindakan lanjut.
“Tindakan tegas juga akan diambil terhadap pihak yang menggaji atau melindungi PATI,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








