BERITA SEMASA

Maritim Malaysia pantau iklan khidmat seludup PATI di media sosial

PUTRAJAYA – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengesan perkhidmatan membawa masuk dan keluar pendatang asing tanpa izin (PATI) yang semakin berleluasa melalui iklan di platform media sosial.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, kegiatan sindiket dan individu tidak bertanggungjawab yang menawarkan perkhidmatan tersebut kepada warga asing tanpa dokumen sah menggunakan laluan laut jelas melanggar undang-undang dan mengancam keselamatan serta kedaulatan negara.

“Selain menyalahi undang-undang, perbuatan ini turut membahayakan nyawa penumpang kerana tidak mengutamakan aspek keselamatan seperti penyediaan jaket keselamatan atau pelampung, malah bot sering membawa muatan melebihi kapasiti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Rosli, Maritim Malaysia akan meneliti kandungan akaun media sosial yang mengiklankan perkhidmatan haram berkenaan dan bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mendapatkan maklumat bagi tujuan pemantauan serta siasatan sebelum tindakan penguatkuasaan diambil.

“Selain itu, kita juga akan memaklumkan perkara ini kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menyekat akaun-akaun terlibat daripada terus mempromosikan perkhidmatan tersebut,” katanya.

Rosli berkata, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dan bersedia mengambil tindakan lebih agresif termasuk meningkatkan rondaan dan operasi di kawasan perairan negara.

Menurut beliau, pemantauan turut diperluaskan menerusi pengoperasian pesawat udara dan Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) bagi mengesan bot-bot asing yang cuba menceroboh.

“Sepanjang tahun ini, sebanyak 68 cubaan penyeludupan PATI berjaya dipatahkan melibatkan penahanan 236 individu dari pelbagai negara,” katanya.

Beliau turut menyeru orang ramai khususnya komuniti nelayan dan penduduk pesisir pantai agar tampil menyalurkan maklumat sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan di kawasan perairan.

“Keselamatan sempadan maritim adalah tanggungjawab bersama. Sebarang maklumat boleh disalurkan melalui talian kecemasan 999 atau terus ke pusat operasi Maritim Malaysia terdekat untuk tindakan segera,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button