PERHILITAN gerak operasi susulan lelaki Orang Asli maut disyaki dibaham harimau
PUTRAJAYA – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak menjalankan operasi pemeriksaan di Kampung Takung, Pos Perwor, Sungai Siput (U), susulan kejadian seorang lelaki Orang Asli maut dipercayai diserang harimau belang, semalam.
Menurut PERHILITAN, pemeriksaan dijalankan di lokasi bagi mendapatkan maklumat awal dan menjalankan siasatan untuk mengenal pasti keadaan sebenar insiden susulan aduan yang diterima berhubung kejadian itu.
PERHILITAN berkata, usaha pencarian berkenaan turut membabitkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk setempat.
“Berdasarkan maklumat dan pemerhatian awal di lokasi, mangsa, seorang lelaki berusia 43 tahun, telah ditemui di kawasan berhampiran jalan balak.
“Pemerhatian awal turut mendapati terdapat kesan pergelutan di lokasi yang dipercayai berkaitan dengan kejadian, manakala jarak antara lokasi kesan pergelutan dengan lokasi penemuan mangsa dianggarkan kira-kira 200 meter,” menurut kenyataan itu.
Baca juga : Lelaki Orang Asli maut dipercayai dibaham harimau di Sungai Siput
Mangsa, Zamberi Angah, 42, dilaporkan maut dipercayai akibat diserang harimau ketika mencari rotan bersama-sama rakannya di kawasan Hutan Simpan Korbu berhampiran Kampung Takung, Pos Perwor, Sungai Siput, semalam.
Menurut PERHILITAN lagi, siasatan masih dijalankan bagi mengesahkan butiran kejadian termasuk mengenal pasti punca serta keadaan sebenar insiden itu.
“Sebarang kesimpulan lanjut akan dibuat berdasarkan hasil siasatan dan bukti yang diperolehi di lapangan,” menurut kenyataan itu.
Susulan kejadian, pasukan PERHILITAN turut meningkatkan pemantauan dan pemeriksaan di kawasan berkenaan, termasuk mengenal pasti tanda kehadiran harimau belang, mendapatkan maklumat daripada penduduk setempat serta memasang perangkap di lokasi yang dikenal pasti sesuai.
“Kerjasama dan penyelarasan dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), PDRM, pihak berkuasa negeri serta komuniti setempat akan terus diperkukuh bagi memastikan langkah keselamatan dan pengurusan konflik manusia-hidupan liar dapat dilaksanakan secara berkesan,” katanya.
Dalam pada itu, penduduk di kawasan berhampiran dinasihatkan supaya meningkatkan kewaspadaan dan mengelak memasuki kawasan hutan atau lokasi yang dikenal pasti mempunyai tanda kehadiran harimau belang, terutama secara bersendirian.
PERHILITAN turut mengingatkan orang awam supaya tidak menghampiri, mengejar, menangkap atau mengambil sebarang tindakan sendiri terhadap harimau yang mungkin dikesan.
“Orang ramai juga digesa melaporkan segera sebarang penampakan atau tanda kehadiran harimau belang melalui talian 1-800-88-5151 atau Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di laman sesawang rasmi jabatan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








