Perhilitan pasang perangkap kesan harimau kumbang di Tasik Kenyir
HULU TERENGGANU – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu mengambil tindakan segera dengan memasang perangkap bagi mengesan seekor harimau kumbang yang dilaporkan berkeliaran berhampiran laluan utama menuju Pangkalan Gawi, Tasik Kenyir, di sini.
Ketua Pengarah Perhilitan Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pihaknya menerima aduan mengenai kehadiran haiwan liar itu sekitar jam 11 malam Sabtu lalu selepas ia dilihat berada di tepi jalan utama berkenaan.
“Susulan laporan itu, lima anggota Perhilitan Daerah Hulu Terengganu bersama seorang kakitangan Taman Negeri Terengganu (TNT) dikerahkan ke lokasi pada pagi kelmarin bagi menjalankan pemantauan dan memasang perangkap khas,” katanya memetik Buletin TV3 Online.
Menurut Abdul Kadir, siasatan awal mendapati lokasi kemunculan harimau kumbang itu berhampiran Hutan Simpan Hulu Telemong serta Hutan Simpan Hulu Terengganu Tambahan, masing-masing kira-kira 500 meter dari kawasan haiwan berkenaan dilaporkan muncul.
“Perhilitan sebelum ini turut memasang kamera perangkap di kawasan terbabit pada 7 Julai lalu bagi memantau pergerakan hidupan liar, katanya.
Beliau berkata, pemantauan berkala akan diteruskan bagi mengesan kehadiran harimau kumbang itu selain memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan penduduk sekitar.
“Orang ramai yang melalui laluan menuju Pangkalan Gawi dinasihatkan supaya lebih berhati-hati terutama pada waktu malam serta tidak mengambil tindakan sendiri sekiranya terserempak dengan haiwan berkenaan,” katanya lagi.
Sebarang maklumat berkaitan kemunculan harimau kumbang itu boleh disalurkan kepada Perhilitan bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








