BERITA SEMASA

Ngauman misteri dari hutan cetus kebimbangan penduduk Pangsapuri Sri Baiduri

KUALA LUMPUR – Bunyi ngauman misteri dari kawasan hutan berhampiran sejak Rabu lalu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk penghuni Pangsapuri Sri Baiduri, Ukay Perdana di sini.

Susulan menrima laporan penduduk, Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pihaknya sudah menghantar anggota lengkap bersenjata bagi melaksanakan operasi khas di kawasan itu, kelmarin.

Katanya, ketika operasi khas bersama anggota polis dari Balai Taman Melawati itu dilaksanakan, kedengaran bunyi ngauman harimau sebanyak dua kali di lokasi.

“Operasi menjejak haiwan pemangsa itu diteruskan dengan bantuan tiga lagi anggota Perhilitan yang tiba kemudian. Namun tiada sebarang kesan tapak kaki atau tanda kehadiran haiwan liar ditemui.

“Keadaan tanah yang dipenuhi daun kering menyukarkan pengesanan. Pasukan berkenaan dijadualkan kembali ke lokasi bagi meneruskan siasatan dan memasang perangkap kamera bagi mengesan kemungkinan kewujudan harimau di kawasan itu,” katanya.

Beliau berkata, pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan haiwan berkenaan tersesat dari habitat asal di hutan sekitar Hulu Langat, susulan gangguan habitat dan kegiatan manusia berhampiran kawasan tadahan hijau.

“Susulan itu PERHILITAN menasihati penduduk tidak memasuki kawasan hutan di belakang pangsapuri itu dan segera melaporkan sebarang kelibat atau bunyi mencurigakan,” katanya.

Siasatan masih dilakukan bagi mengenal pasti spesis harimau berkenaan sama ada ia adalah harimau belang, harimau dahan atau haiwan liar lain.

Sementara itu, pihak pengurusan pangsapuri itu menasihati penduduk berwaspada dan tidak melalui atau memasuki kawasan hutan berhampiran.

Penduduk turut dinasihati mengelak bermain di kawasan terbuka berhampiran hutan terutama anak-anak yang menggunakan padang futsal.

Penduduk juga dinasihati memastikan pintu pagar dan tingkap rumah sentiasa ditutup rapat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button