BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Simpan 100 kura-kura untuk dijual, warga Bangladesh dicekup

BUKIT MERTAJAM – Helah seorang lelaki warga Bangladesh mengumpul dan menyimpan kira-kira 100 ekor kura-kura termasuk labi-labi untuk dijual kepada rumah ibadat bagi tujuan upacara keagamaan terbongkar apabila dia ditahan dalam serbuan di sebuah kediaman di Bagan Lalang, di sini, kelmarin.

Serbuan pada pukul 4.45 petang itu dilaksanakan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pulau Pinang dengan kerjasama polis hasil maklumat awam serta risikan yang dijalankan sebelum ini.

Pengarah Perhilitan Pulau Pinang, Mohd. Zaide Mohamed Zin berkata, pemeriksaan di rumah berkenaan menemukan pelbagai spesies kura-kura dan labi-labi yang disimpan di dalam beberapa tong plastik, dengan anggaran nilai keseluruhan mencecah RM20,000.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek berusia 45 tahun itu memperoleh hidupan liar berkenaan daripada sungai di sekitar negeri ini selain membelinya daripada beberapa individu sebelum dikumpulkan dalam tempoh yang lama.

“Untuk mengumpul sehingga 100 ekor hidupan liar ini bukan dalam masa singkat. Ia berkemungkinan mengambil masa satu hingga dua tahun dan melibatkan rangkaian tertentu yang membekalkan spesies berkenaan kepadanya,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Mohd. Zaide berkata, suspek dipercayai merancang menjual kura-kura dan labi-labi itu kepada tokong Cina bagi kegunaan upacara keagamaan, dengan harga jualan antara RM20 hingga RM200 seekor bergantung kepada saiz.

Beliau menegaskan, tindakan menyimpan hidupan liar tanpa permit sah merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang, lebih-lebih lagi melibatkan spesies eksotik.

“Kesemua hidupan liar ini akan dilepaskan semula ke habitat asal selepas mendapat perintah pelupusan mahkamah. Bagi spesies luar negara pula, ia akan dikuarantin di Pusat Penyelamat Hidupan Liar sebelum tindakan lanjut diambil,” katanya.

Tambah beliau, suspek kini direman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 60(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan orang ramai diingatkan supaya memohon permit sah sekiranya berhasrat menyimpan hidupan liar bagi mengelakkan tindakan undang-undang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button