BERITA SEMASA

Beruang matahari jantan seberat 70kg ditangkap selepas ceroboh dusun penduduk

DUNGUN – Seekor beruang matahari jantan yang menceroboh kawasan dusun penduduk di Kampung Padang Ping, di sini sejak Isnin lalu akhirnya berjaya ditangkap semalam.

Haiwan liar seberat kira-kira 70 kilogram itu ditangkap selepas masuk ke dalam perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) pada pukul 3 pagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Padang Ping, Nik Othman Nik Omar berkata, beruang berkenaan dipercayai menceroboh dusun durian penduduk dan memakan buah yang luruh.

“Banyak buah durian yang luruh dimakan haiwan liar itu dalam tempoh dua hari ini sehingga menyebabkan penduduk takut untuk masuk ke dusun bagi mengutip durian.

“Penduduk lega apabila PERHILITAN berjaya menangkap beruang matahari itu selepas aduan dibuat,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Bagaimanapun katanya, penduduk masih berjaga-jaga kerana kejadian beruang matahari menceroboh kampung berkenaan sudah berlaku tiga kali sejak awal tahun ini.

Sementara itu, Pengarah PERHILITAN Terengganu, Dennis Ten Choon Yung berkata, beruang yang ditangkap itu berada dalam keadaan sihat tanpa sebarang kecederaan.

Menurutnya, pihaknya percaya haiwan berkenaan tersasar dari hutan simpan berhampiran.

“Anggota PERHILITAN Daerah Dungun telah mengambil haiwan liar itu untuk proses translokasi ke habitat yang bersesuaian,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button