BERITA SEMASADALAM NEGERI

Dua gajah liar ceroboh ladang Ulu Sedili ditangkap Perhilitan

KOTA TINGGI – Dua ekor gajah liar yang menceroboh kawasan ladang di Ulu Sedili berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor dalam operasi bersepadu susulan aduan pihak pengurusan ladang, Jumaat lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, tindakan segera diambil selepas pihaknya menerima laporan daripada Johor Plantation Group (JPG) berhubung kehadiran haiwan liar itu di Ladang Pasir Logok, Ulu Sedili.

Menurut beliau, kedua-dua gajah jantan dewasa berkenaan berjaya ditangkap di dua lokasi berasingan iaitu seekor di Ladang Tenggaroh 12, Mersing pada pukul 12.05 tengah hari dan seekor lagi berhampiran Ladang Pasir Logok pada pukul 4.30 petang.

“Gajah yang ditangkap di Mersing mempunyai saiz tapak kaki hadapan 13 inci, manakala seekor lagi di Ulu Sedili bersaiz 15 inci.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua gajah ini merupakan pecahan daripada kumpulan utama di Jemaluang yang sebelum ini kerap dikesan memasuki kawasan ladang serta tapak pembinaan Kompleks Penapisan Minyak Sawit Ulu Sedili,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, operasi tangkapan dilakukan bagi mengelakkan sebarang risiko keselamatan melibatkan pekerja ladang, pekerja pembinaan dan penduduk kampung di kawasan sekitar yang terjejas akibat konflik manusia dan hidupan liar.

Dalam pada itu, Tian Soon memaklumkan Perhilitan Johor akan terus memantau keadaan kedua-dua gajah berkenaan sementara menunggu proses pemindahan ke habitat yang lebih selamat dan sesuai diselesaikan.

“Beberapa aduan sebelum ini turut diterima daripada pekerja pembinaan yang berasa terancam dengan kehadiran gajah di tapak projek, sekali gus menjejaskan kelancaran kerja pembinaan.

“Langkah pemantauan dan pengurusan konflik akan terus diperkukuh bagi memastikan keselamatan semua pihak terjamin,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button