Suspek bertopeng ditangkap selepas tetak lelaki dengan parang
BUTTERWORTH – Dua suspek yang bertopeng dan bersenjatakan parang ditahan selepas menyerang seorang lelaki hingga menyebabkan kecederaan parah di sebuah premis perniagaan di Jalan Raja Uda, kelmarin.
Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Superintendan C Tharmalingam berkata, kedua-dua lelaki berusia 30-an itu ditahan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPU.
Beliau berkata, tangkapan itu dilakukan selepas pihak polis dimaklumkan mengenai kejadian yang berlaku pada pukul 7.20 malam kelmarin apabila mangsa yang datang ke premis tersebut untuk makan bersama rakan diserang oleh seorang lelaki yang memakai topeng dari arah belakang.
“Mangsa cuba melarikan diri namun dia dilanggar oleh sebuah kenderaan yang dinaiki seorang lagi suspek, menyebabkan mangsa terjatuh dan diserang dengan parang,” kata Tharmalingam dalam satu kenyataan semalam.
Mangsa yang mengalami kecederaan parah di tangan kiri berusaha mendapatkan pertolongan dengan berlari masuk ke sebuah klinik swasta berhampiran.
Doktor di klinik tersebut memberi rawatan awal dan menghubungi ambulans untuk membawa mangsa ke hospital.
“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan lanjut dan dilaporkan kini dalam keadaan stabil,” tambahnya.
Susulan kejadian itu, polis berjaya membuat dua tangkapan bagi membantu siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Tular semalam, satu video yang memaparkan suspek bertopeng melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta Nissan Almera putih yang dipandu oleh seorang lagi suspek selepas serangan tersebut.
Video lain turut menunjukkan mangsa dalam keadaan berlumuran darah di tangan kiri ketika menerima rawatan di klinik.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








