BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki cedera disamun dua lelaki bersenjatakan parang

BALING – Seorang lelaki berusia lingkungan 20-an cedera di beberapa bahagian badan selepas diserang dan disamun dua lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian di sebuah taman perumahan di Kuala Ketil dekat sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 8.10 pagi itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala, bahu dan siku sebelum dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Brandon Richard Joe berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian samun berkumpulan bersenjata itu pada pukul 8.40 pagi.

Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati mangsa didatangi dua suspek yang menaiki sebuah kereta Honda berwarna perak sebelum bertindak menyerangnya.

“Ketika kejadian, kedua-dua suspek bersenjatakan parang dan melakukan samun terhadap mangsa.

“Akibat serangan itu, mangsa mengalami kecederaan di kepala, bahu serta siku sebelum dihantar ke HSAH untuk menerima rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, video kejadian yang tular memaparkan dua suspek yang mana salah seorang daripadanya bersenjatakan parang menetak seorang lelaki dipercayai juruwang kedai selepas mangsa cuba melawan suspek.

Beliau berkata, selain mengalami kecederaan, mangsa turut kerugian wang tunai dan beberapa barangan peribadi yang dilarikan suspek.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan ketika melakukan rompakan.

“Polis sedang giat mengesan semua suspek yang terlibat dan siasatan diteruskan dari pelbagai sudut.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button