Tiga suspek curi motosikal ditahan, lima kenderaan hilang ditemukan semula
KAJANG – Tindakan pantas seorang pemilik motosikal bersama orang awam menahan seorang lelaki yang dipercayai mencuri motosikal di Hulu Langat membawa kepada penahanan dua lagi suspek serta penemuan semula lima motosikal yang dilaporkan hilang.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3 petang kelmarin di Jalan Lagenda Suria 1, Taman Sri Nanding apabila mangsa menyedari motosikal jenis Yamaha LC135 miliknya dilarikan seorang lelaki.
Menurut beliau, mangsa kemudiannya bertindak mengejar suspek sebelum berjaya menahannya dengan bantuan orang awam.
“Suspek berjaya ditahan dan kejadian itu turut tular di platform media sosial Threads.
“Susulan tangkapan tersebut, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang menjalankan siasatan lanjut dan berjaya menahan dua lagi lelaki tempatan berusia antara 30 hingga 38 tahun bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan pada semalam.
Naazron berkata, hasil soal siasat terhadap ketiga-tiga suspek membawa kepada penemuan semula lima motosikal yang sebelum ini dilaporkan hilang di sekitar Hulu Langat, Batu 9 dan Wangsa Maju.
Beliau berkata, semua suspek kini direman selama tiga hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor.
“Hasil saringan awal air kencing turut mendapati suspek positif dadah dan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes berkenaan supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Saejan Sarma Pushpanathan di talian 019-329 6634 atau menyalurkan maklumat ke mana-mana balai polis berhampiran.
Terdahulu, rakaman video memaparkan sekumpulan orang awam menahan seorang lelaki yang dipercayai mencuri motosikal di Hulu Langat menjadi tular di media sosial dan menarik perhatian ramai.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







