BERITA SEMASA

Bantuan RM1,000 kepada pemandu teksi, kereta sewa, bas sekolah mula disalur Rabu ini

PUTRAJAYA – Golongan pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah akan mula menerima bantuan khas sebanyak RM1,000 secara sekali bayar mulai Rabu ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, bantuan itu akan disalurkan secara berperingkat, bermula dengan pemberian baucar kepada kumpulan pertama di Kementerian Pengangkutan, Rabu ini.

Tambahnya, kerajaan mahu memastikan bantuan itu diterima pemandu beragama Hindu sebelum sambutan Deepavali.

“Bantuan ini dapat diberikan sebelum Belanjawan 2027 diluluskan kerana hasilnya sudah masuk untuk tahun ini,” katanya dalam satu sidang media, di sini hari ini.

Beliau menambah, dana berjumlah RM91 juta bagi pemberian berkenaan diperoleh menerusi hasil penjualan siri nombor pendaftaran khas kenderaan ‘H’.

Ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan untuk 38,000 pemandu teksi dan kereta sewa serta 15,000 pemandu bas sekolah di seluruh negara.

Sementara itu, berkenaan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mewajibkan pesalah yang memandu bawah pengaruh alkohol atau dadah membayar pampasan kepada mangsa, Anthony berkata ia disasarkan untuk dibentangkan pada sidang Parlimen pertama tahun depan.

Katanya, kelulusan dasar bagi cadangan itu sudah diperoleh daripada Jemaah Menteri beberapa bulan lalu, manakala Bahagian Darat Kementerian Pengangkutan sedang menyediakan kertas dasar dan rang undang-undang (RUU) berkenaan.

“Ini akan mengambil sedikit masa untuk dibentangkan ke Parlimen kerana ia melibatkan banyak pertimbangan teknikal. Kita akan berusaha dalam beberapa bulan ini untuk membawa RUU tersebut ke Parlimen,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button