BERITA SEMASA

Belanjawan 2027 dijangka buka ruang baharu kepada anak muda

KUALA LUMPUR – Belanjawan 2027 dijangka memberi fokus kepada usaha membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada golongan muda, termasuk dalam segmen yang sebelum ini kurang diakses oleh mereka.

Timbalan Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, Kementerian Ekonomi melihat keperluan untuk memperluaskan ruang penyertaan anak muda dalam struktur ekonomi negara bagi memastikan mereka bersedia menghadapi cabaran masa depan.

“Kita melihat ini membuka satu dua ruang supaya bakat anak muda ini ada juga peluang untuk satu segmen atau dua segmen yang sebelum ini tidak terbuka untuk anak muda.

“Terutamanya mungkin dari segi pasaran saham dan pemilikan yang membolehkan mereka mempelajari satu lagi segmen baharu dalam ekonomi,” katanya kepada pemberita selepas meluncurkan Program Junior Innovathon di Kota Media Angkasapuri hari ini.

Menurut Akmal, kerajaan pada masa sama perlu menguruskan cabaran semasa termasuk tekanan terhadap harga minyak akibat krisis bekalan tenaga serta memastikan pelaksanaan projek pembangunan dapat diteruskan.

“Maka sudah pasti itu penumpuan yang harus diberikan di peringkat pengurusan fiskal,” katanya lagi.

Beliau bagaimanapun berkata, perincian lanjut mengenai inisiatif berkenaan hanya akan diumumkan selepas pembentangan Belanjawan 2027.

Dalam perkembangan sama, Akmal berkata, Malaysia kini berdepan cabaran perubahan demografi apabila negara semakin menuju ke arah populasi menua.

“Isu tersebut tidak boleh dilihat hanya dari sudut kebajikan warga emas dan jaringan perlindungan sosial semata-mata, sebaliknya perlu melibatkan persediaan generasi muda sebagai pemacu ekonomi negara pada masa hadapan.

“Generasi anak mudalah yang sebenarnya perlu memikul tanggungjawab yang lebih besar untuk kelangsungan ekonomi dan juga kesinambungan pertumbuhan negara.

“Kita bukan semata-mata menguruskan warga yang menua tetapi mempersiapkan anak-anak muda ini untuk kelangsungan kehidupan mereka pada masa akan datang,” katanya lagi.

Beliau turut berkata, pembangunan belia perlu diberi perhatian dalam konteks struktur ekonomi negara bagi memastikan Malaysia bersedia menghadapi cabaran masyarakat menua pada masa depan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button