SPRM kenal pasti beberapa individu terlibat kes rasuah tender TDM
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan wujud beberapa individu lain yang dipercayai terlibat dalam siasatan kes rasuah berkaitan tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM), selain seorang pegawai kanan TDM yang dikenal pasti sebagai suspek utama.
Menurut SPRM, individu-individu berkenaan disyaki mempunyai hubungan langsung dengan kes terbabit dan siasatan lanjut akan diteruskan berdasarkan bukti serta maklumat yang dikumpulkan.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik menerusi akaun TikTok rasminya hari ini, SPRM turut mengesahkan bahawa proses pengesanan serta sekatan terhadap aset berkaitan sedang giat dijalankan.
“Selain suspek utama, SPRM mengenal pasti beberapa individu lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes ini, dan tindakan lanjut akan diambil berdasarkan hasil siasatan dan bukti yang diperoleh.
“Namun, jumlah nilai aset atau akaun bank tidak didedahkan kepada media buat masa ini memandangkan proses siasatan masih berjalan dan tidak semua aset dibekukan sepenuhnya,” menurut hantaran itu hari ini.
Dalam perkembangan sama, SPRM memaklumkan keterangan penuh suspek utama masih belum dirakam berikutan faktor kesihatan.
“SPRM menghormati keadaan kesihatan dan hak individu terbabit selaras dengan peruntukan undang-undang. Rakaman keterangan akan dilakukan sebaik sahaja beliau disahkan berada dalam keadaan sihat oleh pihak perubatan,” menurut kenyataan itu.
SPRM turut menjelaskan tempoh siasatan tidak ditetapkan secara khusus kerana bergantung kepada tahap kerumitan kes, bilangan saksi, serta keperluan meneliti dokumen dan aliran kewangan.
Tegas SPRM, siasatan dijalankan secara profesional, telus dan bebas tanpa sebarang campur tangan, sambil menegaskan komitmen untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam amalan rasuah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








