JENAYAH & MAHKAMAH

Suapan RM3,500: Pengarah MBDK mengaku tidak bersalah

SHAH ALAM – Pengarah Jabatan Teknologi Maklumat Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Nor Hasyimah Tamziz, 50, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM3,500 enam tahun lalu.

Pengakuan tertuduh direkodkan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

Nor Hasyimah didakwa menerima wang tersebut daripada seorang kontraktor berusia 54 tahun yang mempunyai kaitan dengan tugas rasminya.

Kejadian itu didakwa berlaku di sebuah bank di Klang pada 9 Mei 2019.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muaz Ahmad Khairuddin mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Namun, peguam tertuduh, V. Ayasamy, merayu agar jumlah jaminan dikurangkan kepada RM5,000 kerana tertuduh menanggung empat anak.

Hakim Mohd Nasir membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan agar pasport tertuduh diserahkan dan beliau perlu melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan sehingga kes selesai.

Kes itu akan disebut semula pada 5 Mei depan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button