BERITA SEMASALUAR NEGARA

Gajah mengamuk ragut 20 nyawa diburu di India

JHARKHAND – Pegawai hidupan liar India sedang memburu seekor gajah liar yang mengamuk dan dipersalahkan atas kematian sekurang-kurangnya 20 orang serta mencederakan 15 yang lain di kawasan hutan Jharkhand.

Menurut Pegawai Perhutanan, Aditya Narayan,
gajah jantan bersendirian itu mengamuk selama sembilan hari bermula awal Januari, sekali gus mencetuskan panik dalam kalangan penduduk luar bandar di daerah West Singhbhum.

“Kami sedang berusaha menjejaki dan menyelamatkan gajah liar ganas ini yang telah membunuh begitu ramai orang,” katanya kepada AFP, sambil mengesahkan angka korban seramai 20 orang.

Antara yang terkorban termasuk kanak-kanak dan warga emas, selain seorang pengendali gajah profesional.

Bagaimanapun, selepas meninggalkan jejak kemusnahan, gajah berkenaan tidak lagi kelihatan sejak Jumaat lalu walaupun beberapa rondaan dilakukan di kawasan itu.

Pegawai berkata, pasukan pencarian dengan bantuan dron kini menyisir kawasan hutan tebal, termasuk sebuah rizab negara di negeri jiran Odisha.

Sementara itu, ketakutan memaksa penduduk lebih 20 kampung meninggalkan ladang mereka atau berkubu di dalam rumah pada waktu malam, kata ketua kampung, Pratap Chachar.

“Pasukan polis atau kenderaan pegawai perhutanan akan melakukan rondaan pada waktu malam bagi memberikan bantuan keperluan kepada penduduk kampung,” katanya.

Setiap tahun, ratusan ribu rakyat India terkesan akibat gajah yang menceroboh dan merosakkan tanaman.

Gajah Asia kini hanya menghuni kira-kira 15 peratus daripada habitat asalnya.

Haiwan yang lazimnya pemalu itu semakin kerap berhadapan dengan manusia susulan perkembangan penempatan yang pesat serta gangguan hutan yang semakin meningkat, termasuk aktiviti perlombongan.

Seiring penyusutan habitat gajah, konflik antara manusia dan gajah liar turut meningkat apabila 629 orang dilaporkan maut akibat serangan gajah di seluruh India bagi tempoh 2023 hingga 2024, menurut angka yang dikeluarkan oleh Parlimen.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button