LUAR NEGARA

Nahas pesawat pengangkut: Lima anggota Tentera Udara India terkorban

NEW DELHI – Lima anggota Tentera Udara India (IAF) maut apabila sebuah pesawat pengangkut jenis Antonov AN-32 terhempas ketika cuba mendarat di Pangkalan Udara Jorhat di negeri Assam, timur laut India, semalam.

Seorang lagi kru yang merupakan pembantu juruterbang dilaporkan terselamat namun mengalami kecederaan dan sedang menerima rawatan.

Menurut IAF, pesawat berkenaan terbabit dalam penerbangan rutin pada pukul 10 pagi sebelum mengalami kemalangan ketika proses pendaratan. Susulan insiden itu, pihak tentera udara menubuhkan satu mahkamah siasatan bagi mengenal pasti punca nahas.

Media tempatan India melaporkan pesawat itu dipercayai berdepan masalah teknikal sejurus berlepas dan terpaksa berpatah balik ke pangkalan udara berkenaan.

Ketika cuba mendarat, pesawat tersebut dilaporkan terbabas dari landasan sebelum terbelah dan terbakar.

Dalam kenyataannya, IAF merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta menyifatkan mereka sebagai anggota yang telah berkorban demi negara ketika menjalankan tugas.

Lima anggota yang terkorban dikenal pasti sebagai Ketua Skuadron, Prashant Singh: Leftenan Pesawat, Shubham Kumar; Sarjan Jitendra Sharma serta dua anggota Agniveervayu, Khemaram Kumawat dan Danish Alam.

Pesawat AN-32 buatan Soviet yang mula berkhidmat dengan IAF sejak era 1980-an merupakan antara tulang belakang operasi logistik tentera udara India, khususnya untuk mengangkut anggota, bekalan dan peralatan ke kawasan pedalaman serta lokasi strategik di wilayah Himalaya.

Namun, India kini sedang melaksanakan pelan penggantian secara berperingkat terhadap pesawat berusia itu menerusi perolehan pesawat pengangkut generasi baharu.

Nahas terbaru itu mengimbau beberapa tragedi melibatkan AN-32 sebelum ini.

Pada Jun 2019, sebuah pesawat sama yang membawa 13 anggota terhempas di Arunachal Pradesh selepas berlepas dari Jorhat manakala pada Julai 2016, seramai 29 anggota tentera udara terkorban apabila sebuah AN-32 dilaporkan hilang di ruang udara Teluk Benggala.

Insiden di Jorhat turut berlaku hanya beberapa bulan selepas dua juruterbang IAF maut dalam nahas pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKI ketika menjalani latihan rutin di Assam, sekali gus mencetuskan semula perdebatan mengenai keperluan mempercepatkan proses pemodenan aset udara India yang semakin berusia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button