BERITA SEMASA

Sulong selamat tiba di Tasik Kenyir, bakal pindah ke habitat baharu

KUALA LUMPUR – Gajah jantan bernama Sulong yang sebelum ini tular selepas meredah perjalanan jauh dari Gerik, Perak menuju ke Gua Musang, Kelantan, kini selamat tiba di Tasik Kenyir bagi menjalani proses pemindahan ke habitat baharunya.

Menerusi video yang dikongsi pengguna TikTok, @badri5345, Sulong dilihat berada di kawasan berkenaan dan sedang melalui proses pemindahan sebelum ditempatkan di lokasi yang bersesuaian.

“Sulong tiba di Tasik Kenyir. Semoga Sulong sihat selalu,” tulis kapsyen di dalam video berkenaan.

Difahamkan, Sulong akan menjalani pemeriksaan serta menerima rawatan terlebih dahulu sebelum dipantau secara berterusan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

Dalam proses itu, dua gajah denak, Indah dan Suria turut digunakan bagi membantu memujuk serta menenangkan Sulong supaya proses pemindahan dapat dijalankan dengan lancar.

BACA JUGA:
Luka semakin kering, gajah ‘Sulong Chalil’ masih dipantau – PERHILITAN

gajah
Sulong dikesan berkeliaran di Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Gerik sejak 17 Ogos lalu.

Sebelum ini, Sulong mencuri perhatian selepas dirakam berjalan sendirian dari Gerik menuju ke Gua Musang, merentasi jarak yang jauh.

Pergerakan gajah berkenaan mengundang kebimbangan orang ramai terutama pengguna jalan raya, selain mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial.

Sulong dijangka terus menjalani pemantauan dan rawatan bagi memastikan keadaan fizikalnya stabil sebelum proses penyesuaian dengan habitat baharunya di Tasik Kenyir diteruskan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button