BERITA SEMASADALAM NEGERI

Lelaki maut diserang gajah liar di Gua Musang

GUA MUSANG – Hasrat sekumpulan pekerja balak untuk berehat selepas seharian bekerja bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka maut dipercayai diserang kawanan gajah liar di kawasan pembalakan Felda Aring 8, semalam.

Mangsa, Saidi Jahari, 43, yang juga mandur balak, ditemukan tidak bernyawa di jalan keluar kawasan rumah kongsi dengan kesan kecederaan parah dan dipercayai dipijak haiwan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 8.15 pagi semalam.

Katanya, siasatan awal mendapati ketika kejadian, enam pekerja sedang tidur di dalam rumah kongsi berkenaan sebelum terhidu bau gajah dan mendengar bunyi bising di luar khemah.

“Sebelum kejadian mereka terhidu bau gajah yang kuat dan mendengar bunyi bising di luar khemah sebelum menyedari sekawan gajah liar menghampiri kawasan terbabit.

“Kesemua pekerja bertindak melarikan diri ke kawasan hutan untuk menyelamatkan diri. Namun, seorang mangsa lelaki warga tempatan tidak sempat melarikan diri dan ditangkap oleh seekor gajah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, beberapa jam kemudian, kumpulan pekerja yang melarikan diri kembali ke rumah kongsi dan mendapati mangsa masih hidup tetapi cedera parah pada kedua-dua belah kaki.

Katanya, mereka cuba membantu mangsa dengan membawanya masuk ke rumah kongsi bagi berlindung, namun seekor gajah dipercayai ketua kawanan kembali dan menyerang semula kawasan itu.

“Kesemua mereka sekali lagi melarikan diri ke dalam hutan dan meninggalkan mangsa di lokasi. Selepas keadaan kembali tenang, pekerja kembali semula ke rumah kongsi dan mendapati mangsa sudah tiada.

“Hasil pencarian di kawasan berhampiran mendapati mangsa dijumpai dalam keadaan tidak bernyawa di jalan keluar dengan kesan cedera parah dan tubuh dipercayai dipijak gajah,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat, manakala Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) kini sedang mengesan dan mengawal pergerakan kawanan gajah berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button