BERITA SEMASA

Lelaki warga emas maut dipijak gajah liar

LAHAD DATU – Seorang lelaki warga emas maut selepas dipercayai dipijak seekor gajah liar dalam kejadian di Ladang Begahak 2, Jalan Tungku, di sini, semalam.

Dalam insiden yang berlaku kira-kira pukul 2 petang itu, mangsa seorang warga emas dipercayai sedang menutup pagar kebun bersama anak lelakinya sebelum diserang haiwan berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau berkata, siasatan awal mendapati mangsa bersama anak lelakinya yang berusia 38 tahun berada di ladang kelapa sawit tersebut sebelum seekor gajah liar tiba-tiba muncul.

“Anak mangsa berjaya menyelamatkan diri sambil menjerit meminta pertolongan serta cuba mengalih perhatian haiwan berkenaan, namun mangsa tidak sempat melarikan diri sebelum dipijak oleh gajah tersebut.

“Tidak berapa lama selepas itu, gajah yang dipercayai bergerak bersendirian itu meninggalkan lokasi kejadian.

“Selepas keadaan kembali selamat, anak mangsa pergi mendapatkan bapanya sebelum membawanya ke Hospital Lahad Datu.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan sebaik tiba di hospital. Pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami patah tulang pada bahagian betis dan tulang rusuk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, iaitu Ketua Balai Polis Tungku di talian 017-829 3359 atau tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu.

Beliau turut menasihatkan penduduk, khususnya di kawasan Tungku, agar sentiasa berwaspada dan mengambil langkah keselamatan sewajarnya memandangkan kawasan tersebut merupakan antara lokasi tumpuan gajah liar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button