Bekas komando ceroboh bilik bilal masjid, curi duit tabung dipenjara empat bulan
MELAKA – Bekas komando dipenjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini pada Khamis selepas mengaku bersalah menceroboh bilik bilal sebuah masjid, bulan lalu, lapor Sinar Harian.
Tertuduh, Mohd Zaidi Mohtar, 44, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menceroboh dengan memasuki ruangan bilik bilal Masjid Al Wathoni, Bukit Pegoh, Bukit Larang, Telok Mas, di sini sekitar jam 2 pagi, 11 Ogos lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, pada 13 Ogos lalu kira-kira jam 6.40 pagi, pengadu yang berada di masjid berkenaan dimaklumkan bilal bahawa wang tabung masjid di bilik bilal hilang sebanyak satu ikat dianggarkan RM70.
Wang berkenaan diletakkan di dalam peti wang yang tidak berkunci.
Pengadu kemudian memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati seorang lelaki yang tidak dikenali memasuki masjid melalui ruang Muslimah sebelum menuju ke bahagian dalam masjid pada kira-kira jam 2 pagi, 11 Ogos lalu.
Susulan itu, pengadu membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
Pada 2 September lalu kira-kira jam 12.15 tengah hari, sepasukan anggota polis dari Balai Polis Kandang menahan tertuduh dan siasatan mendapati tertuduh terbabit dalam kes berkenaan.
Terdahulu, peguam YBGK mewakili tertuduh memohon hukuman minima kerana pengakuan salah tertuduh telah menjimatkan masa dan kos pendakwaan.
Dalam rayuan memaklumkan tertuduh merupakan duda tidak mempunyai pekerjaan dan masih berusaha mencari pekerjaan, selain tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Alia Safri bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap tertuduh.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara empat bulan terhadap tertuduh bermula dari tarikh tangkapan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








