JENAYAH & MAHKAMAH

Mahkamah Rayuan tambah hukuman, bekas suami Jahidah dipenjara 14 tahun

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini meningkatkan hukuman penjara terhadap seorang lelaki kepada 14 tahun selepas didapati bersalah menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas isterinya, lima tahun lalu.

Tertuduh, Rosmaini Abdul Raof, 43, dijatuhi hukuman maksimum itu selepas panel tiga hakim sebulat suara mengekalkan sabitan dan menambah tempoh penjara daripada 10 tahun yang diputuskan Mahkamah Tinggi.

Panel hakim yang dipengerusikan Datuk Azman Abdullah serta dianggotai Datuk Noorin Badaruddin dan Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid turut memerintahkan Rosmaini membayar ganti rugi sebanyak RM25,000 kepada mangsa atau berdepan tambahan enam bulan penjara jika gagal berbuat demikian.

Mahkamah turut mengarahkan hukuman tersebut berkuat kuasa serta-merta, memetik laporan Metro Online.

Sebelum ini, pada 4 November tahun lalu, Mahkamah Tinggi mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen bertarikh 9 Disember 2024 yang mensabitkan Rosmaini dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadapnya.

Jahidah koma
Keadaan Jahidah yang terlantar koma (gambar kiri) sejak empat tahun lalu selepas dipukul bekas suaminya. Gambar kanan, wajah Jahidah sebelum insiden tragik itu.

Bagaimanapun, pelaksanaan hukuman itu ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan akhir.

Tertuduh sebelum ini sempat menjalani hukuman penjara selama 79 hari selepas disabitkan bersalah oleh Mahkamah Sesyen.

Mengikut pertuduhan, pada 17 Jun 2021, Rosmaini mengaku tidak bersalah atas dakwaan menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas isterinya, Jahidah Nordin@Sylvester, 46, yang ketika itu hamil 10 minggu.

Dia didakwa memukul kepala, muka dan tangan mangsa serta menendangnya dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Kampung Aman, Larkin, Johor Bahru, kira-kira pukul 6 pagi pada 4 Mei 2021.

Kes itu didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang membolehkan hukuman digandakan sehingga dua kali tempoh maksimum.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button