BERITA SEMASA

Sesi libat urus diteruskan sebelum bentang semula pindaan Akta Penjara – KDN

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meneruskan sesi libat urus dengan semua pemegang taruh sebelum membentangkan semula Rang Undang-Undang (RUU) Penjara (Pindaan) 2026 bagi memastikan cadangan pindaan itu difahami dengan jelas, khususnya berhubung peruntukan perlindungan kepada pegawai penjara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, cadangan pindaan tersebut telah disalah tafsir oleh sesetengah pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Ahli Parlimen, yang menganggap kerajaan mahu memberikan kekebalan undang-undang kepada pegawai penjara.

Beliau menjelaskan, perkara yang dicadangkan hanyalah perlindungan kepada pegawai yang menjalankan tugas secara suci hati dan bukannya imuniti daripada tindakan undang-undang.

“Pindaan ini mencadangkan supaya ada elemen perlindungan apabila seorang pegawai penjara bertindak secara suci hati.

“Perkataan ini perlu kita perjelaskan lagi kerana sangkaan umum, NGO termasuk juga ahli-ahli dewan, menganggap bahawa ini usaha Jabatan Penjara untuk mendapat kekebalan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan KDN, di sini hari ini.

Saifuddin berkata, cadangan pindaan itu telah ditangguhkan sebelum ini bagi memberi ruang kepada Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Parlimen menelitinya dengan lebih terperinci.

Menurut beliau, antara cadangan utama dalam pindaan tersebut ialah penggunaan peranti pengawasan elektronik bagi memantau banduan tertentu, penubuhan pasukan sukarelawan penjara untuk membantu program pemulihan serta peruntukan perlindungan undang-undang kepada pegawai penjara yang menjalankan tugas mengikut akta.

Beliau menegaskan bahawa peruntukan perlindungan seumpama itu bukan sesuatu yang baharu kerana ia turut terkandung dalam beberapa undang-undang lain di negara ini.

“Banyak akta lain dalam negara kita turut mempunyai peruntukan yang sama. Hujah pertama ialah keseragaman, hujah kedua adalah tidak sama sekali menuntut kekebalan undang-undang ke atas pegawai penjara,” katanya.

Saifuddin berkata, cadangan pindaan itu juga mengambil kira beberapa kes yang pernah berlaku, termasuk tindakan saman terhadap seorang pengarah penjara selepas melaksanakan hukuman sebatan yang diputuskan mahkamah ke atas seorang prospek yang kemudiannya meninggal dunia.

Menurutnya, terdapat juga kes melibatkan prospek yang meninggal dunia ketika tidur selepas laporan perubatan mengesahkan tiada unsur jenayah, namun pegawai penjara tetap berdepan tindakan saman.

“Jadi kes macam ini saya merasakan bahawa ada keperluan untuk Akta Penjara dipinda dalam konteks ini.

“Ada kes di penjara yang prospek mati dalam tidur. Laporan perubatan mengesahkan tiada ‘foul play’. Tapi masih lagi pegawai penjara disaman,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan pegawai penjara tetap tertakluk kepada tindakan undang-undang sekiranya berlaku kecuaian atau pelanggaran undang-undang ketika menjalankan tugas.

Beliau memberi contoh siasatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) berhubung insiden rusuhan di Penjara Taiping yang turut disusuli siasatan polis serta tindakan dalaman terhadap pihak yang terlibat.

“Kertas siasatan polis dibuat, tindakan dalaman dilakukan, tindakan undang-undang juga berlaku.

“Jadi contoh ini menunjukkan bahawa tidak ada langsung niat untuk mendapatkan kekebalan. Bahkan pegawai penjara tetap tertakluk kepada tindakan undang-undang jika berlaku kecuaian atau pelanggaran,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button