Hina Agong di TikTok: Peniaga dipenjara 3 bulan, didenda RM5,000
KAJANG – Seorang peniaga menerima padah selepas memuat naik komen jelik menghina Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di TikTok apabila dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Bandar Baru Bangi, di sini hari ini.
Hakim Firdaus Md Isa menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Hafiz Haron, 42, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dihadapinya.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa serta-merta bermula hari ini, selain tambahan empat bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.
Berdasarkan pertuduhan, Mohd Hafiz didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen bersifat jelik melampau terhadap Yang di-Pertuan Agong melalui akaun TikTok miliknya kira-kira pukul 7.30 pagi pada 11 September 2025.
Hantaran tersebut kemudian dilihat oleh seorang individu di sebuah kediaman di Taman Pelangi Semenyih 2 pada pukul 10 malam hari sama.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 233(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Atiqah Mohamad Alias memohon mahkamah mengenakan hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh.
Bagaimanapun, Mohd Hafiz yang tidak diwakili peguam merayu agar dikenakan hukuman ringan dengan alasan perlu menyara tiga anak selain ibunya yang uzur, di samping menjalankan perniagaan kecil dan kerja kampung.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








