BERITA SEMASA

Dadah ‘bolos’ dalam penjara: Jabatan Penjara nafi dakwaan Yasin Sulaiman

KOTA BHARU – Jabatan Penjara Malaysia menafikan dakwaan penyanyi dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman bahawa banduan boleh mendapatkan bekalan dadah dengan mudah ketika menjalani hukuman di penjara.

Pengarah Kanan Bahagian Dasar Kepenjaraan, Komisioner Penjara Mohamad Rosidek Musa berkata, pihaknya mempunyai prosedur operasi standard (SOP) serta peraturan ketat bagi mengawal kemasukan dan peredaran bahan terlarang dalam institusi penjara.

Menurutnya, Jabatan Penjara sentiasa berusaha mengekang sebarang perkara negatif termasuk salah laku dalam kalangan penghuni menerusi kawalan keselamatan dan program pemulihan yang dilaksanakan.

“Tidak benar. Kita ada SOP dan peraturan kita untuk mengekang perkara-perkara negatif yang tidak baik.

“Kita akui ada perkara mungkin berlaku, tetapi tidak seperti yang didakwa,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penutupan Program Bookathon Jabatan Penjara Malaysia 2026 di Blok Wanita, Penjara Pengkalan Chepa, di sini hari ini.

Sebelum itu, media melaporkan Yasin mendakwa dadah masih boleh memasuki penjara walaupun pemeriksaan keselamatan ketat dikenakan terhadap banduan baharu.

Menurut Yasin menerusi sebuah audio siar, beliau diarahkan menanggalkan pakaian dan menjalani pemeriksaan berulang ketika tiba di Penjara Sungai Buloh, namun mendakwa langkah berkenaan masih tidak dapat menghalang peredaran dadah dalam penjara.

Mohamad Rosidek berkata, Jabatan Penjara memberi tumpuan bukan sahaja kepada aspek kawalan keselamatan, malah usaha pemulihan bagi menangani perkara negatif yang boleh menjejaskan penghuni.

“Kita dalam konteks kepenjaraan, fokus pada program pemulihan. Kita akan cuba atasi perkara-perkara yang negatif yang sedang berlaku di penjara,” katanya lagi.

Beliau berkata, sebarang salah laku yang dikesan akan ditangani dan tindakan sewajarnya diambil mengikut peraturan yang ditetapkan.

Dalam pada itu, Mohamad Rosidek berkata SOP berkaitan kawalan keselamatan dan pengurusan penjara turut dikaji secara berperingkat bagi memastikan ia sentiasa ditambah baik.

“Jabatan Penjara berusaha memastikan perkara-perkara negatif, salah laku dan sebagainya kita tangani serta ambil tindakan.

“Setiap tahun kita akan cuba ketatkan SOP dan akan kaji peringkat demi peringkat,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button