JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki acu pistol sambil tunggang motosikal ditahan

KUALA TERENGGANU – Polis menahan seorang pembantu kedai makan yang memegang objek menyerupai pistol disyaki tiruan sambil menunggang motosikal dalam kejadian di daerah ini.

Lelaki berusia 26 tahun ditahan polis di sebuah premis di Jalan Sultan Mahmud di sini kira-kira jam 1.30 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, polis yang menerima maklumat awam berdasarkan video yang tular di Facebook menjalankan operasi bagi mengesan suspek.

Beliau berkata, ia membawa kepada penahanan suspek di sebuah premis di daerah ini.

Katanya, pihaknya turut merampas beberapa barang kes termasuk sepucuk pistol dipercayai tiruan berwarna hitam dan sebuah motosikal jenis Honda C70.

“Hasil soal siasat awal, suspek mengaku terbabit dalam kes yang disiasat dan mendakwa mengambil pistol itu di dalam tong sampah berhampiran Bulatan Ladang,” katanya memetic Harian Metro.

Azli berkata, hasil ujian saringan air kencing juga mendapati suspek yang beralamat dari Ranau, Sabah turut positif dadah jenis methamphetamine.

Katanya, suspek turut mempunyai rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan/Akta Keganasan Rumah Tangga.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjatapi 1960,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button