JENAYAH & MAHKAMAH

Op Vape 1.0: Polis turut rampas cecair vape mengandungi dadah

KUALA LUMPUR – Polis berjaya merampas pelbagai barangan termasuk cecair vape disyaki mengandungi dadah jenis furanyl fentanyl dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM4.6 juta menerusi Op Vape 1.0.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi tersebut dilaksanakan bersama pelbagai agensi penguatkuasaan di seluruh negara, 13 hingga 17 April lalu.

Dalam operasi itu, sebanyak 1,670 premis diperiksa manakala beberapa pembekal rokok elektronik turut ditahan bagi membantu siasatan.

Hussein berkata, pihaknya memandang serius penularan video di media sosial yang memaparkan individu menghisap vape secara keterlaluan serta melakukan aksi memalukan sehingga mencetuskan kebimbangan masyarakat.

Menurutnya, tiga lelaki tempatan termasuk dua individu dalam video tular itu serta seorang pembekal vape disyaki mengandungi dadah berjaya ditahan di Selangor.

“Serbuan turut membawa kepada rampasan satu botol cecair vape disyaki ketamin.

“Tiga lagi lelaki termasuk dua individu yang membuat siaran langsung sambil menghisap vape turut ditahan di Johor Bahru bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Beliau kemudiannya menambah, JSJN komited mempergiat operasi dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak terlibat dalam aktiviti pengedaran vape mengandungi bahan terlarang.

Katanya, trend penggunaan rokok elektronik dalam kalangan remaja kini semakin membimbangkan kerana berpotensi menjadi pintu masuk kepada penyalahgunaan dadah yang lebih serius serta mencemarkan nilai moral masyarakat.

“Orang ramai digesa untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah melalui Hotline JSJN di 012-208 7222,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button