Azeez Rahim sedia disiasat semula jika dakwaan ‘sakau’ dalam RCI TH benar
JELEBU – Bekas Pengerusi Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menegaskan beliau bersedia memberi kerjasama penuh sekiranya pihak berkuasa membuka semula siasatan berhubung dakwaan salah laku yang dibangkitkan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai TH.
Abdul Azeez berkata, beliau tidak mempunyai sebarang masalah untuk disiasat semula dan akan bertanggungjawab sekiranya benar terbukti melakukan sebarang penyelewengan.
Menurutnya, laporan RCI berkenaan telah disiapkan sejak penghujung 2022 sebelum dibentangkan kepada Kabinet, namun beliau mempersoalkan mengapa ia hanya didedahkan kepada umum selepas lebih tiga tahun.
“Saya orang pertama yang akan memberi kerjasama jika siasatan dibuka semula. Jika saya bersalah, saya akan bertanggungjawab. Tetapi jangan menggunakan istilah ‘sakau’ demi kepentingan politik,” katanya memetik laporan Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika membantu kempen calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias, di Taman Simpang Pertang.
Mengulas lanjut, Abdul Azeez berkata beliau sendiri pernah merayu kepada beberapa Perdana Menteri terdahulu, termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya RCI ditubuhkan bagi membersihkan namanya.
Menurutnya, hanya ketika pentadbiran Ismail Sabri, cadangan penubuhan RCI itu dipersetujui.
Beliau turut menjelaskan bahawa sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif TH ketika itu, beliau tidak mempunyai kuasa mutlak untuk meluluskan sebarang transaksi atau pelaburan kerana setiap keputusan perlu melalui Panel Pelaburan, pengurusan risiko dan Lembaga Pengarah.
Dalam masa sama, Abdul Azeez meminta kerajaan tidak menafikan rekod pencapaian TH ketika di bawah pentadbiran terdahulu, sambil mendakwa institusi itu pernah diiktiraf sebagai antara pengurusan haji terbaik dunia selama beberapa tahun berturut-turut.
Beliau turut menggesa orang ramai serta pendeposit TH supaya membaca sendiri laporan penuh RCI bagi memahami keseluruhan dapatan tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
















