BERITA SEMASAPOLITIK

SUK Negeri Sembilan tidak warta proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz

SEREMBAN – Kerajaan Negeri Sembilan tidak akan mewarta atau melaksanakan proklamasi bertarikh 19 April 2026 berhubung kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, menurut Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri.

Pejabat SUK Negeri Sembilan berkata, keputusan itu dibuat selaras dengan pandangan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang menyatakan proklamasi berkenaan tidak sah dan sebarang tindakan pewartaan atau pelaksanaannya adalah tidak berperlembagaan.

Menurut kenyataan itu, kerajaan negeri turut akur bahawa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) tidak mempunyai bidang kuasa, autoriti atau kuasa di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS 1959) untuk membuat pengumuman berkaitan proklamasi berkenaan.

“Selain daripada itu, tiada asas di sisi undang-undang bagi ahli MMKN untuk bersandar kepada proklamasi bertarikh 19 April 2026 bagi pengumuman mereka,” menurut kenyataan tersebut.

Pejabat SUK berkata, pentadbiran negeri telah merujuk perkara itu kepada Penasihat Undang-Undang Negeri bagi memastikan sebarang tindakan yang diambil mematuhi undang-undang semasa serta UUTKNS 1959.

Langkah itu susulan kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim sebelum ini berhubung arahan untuk mewartakan proklamasi berkenaan yang diputuskan MMKN.

Dalam kenyataan berasingan, AGC memaklumkan proklamasi mengenai kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertarikh 19 April 2026 tidak sah kerana tidak mematuhi kehendak mandatori Perkara 10 UUTKNS 1959.

AGC turut menegaskan Menteri Besar dan MMKN Negeri Sembilan tidak mempunyai kuasa secara unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Menurut AGC, kesahan serta kesan proklamasi berkenaan perlu ditentukan menerusi proses perlembagaan dan undang-undang yang sah, manakala perkara itu ketika ini turut dalam prosiding di Mahkamah Tinggi Malaya di Seremban.

Sementara itu, Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan sekali lagi menegaskan bahawa Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang sah dan Yang Dipertua DKU.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button