Aminuddin pertikai pengumuman EXCO Negeri Sembilan, dakwa proklamasi tidak sah
SEREMBAN – Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, mempertikaikan pengumuman Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) semalam berhubung kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir.
Aminuddin berkata, beliau memberikan penjelasan berhubung perkara itu kerana dokumen yang menjadi asas kepada pengumuman berkenaan, iaitu proklamasi yang didakwa bertarikh 19 April lalu dan dikatakan dibuat oleh Undang Yang Empat, pernah dikemukakan kepadanya ketika masih memegang jawatan Menteri Besar.
Menurutnya, beliau merupakan Menteri Besar pada 19 April 2026 dan terus memegang jawatan berkenaan sehingga 2 Ogos 2026.
Katanya, dokumen proklamasi berkenaan dikemukakan kepadanya pada 20 April lalu untuk ditandatangani mengikut Perkara 10(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).
“Saya enggan menandatangani dokumen tersebut atas sebab-sebab yang telah saya nyatakan secara terbuka pada ketika itu.
“Saya menegaskan bahawa Kerajaan Negeri tidak dapat menerima dan tidak mengiktiraf tindakan Mubarak Dohak yang terlibat dalam urusan proklamasi tersebut serta menyempurnakannya pada 19 April lalu kerana beliau bukan lagi Undang Luak Sungai Ujong,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Aminuddin turut mendakwa tiada siasatan penuh dan lengkap seperti yang dikehendaki Perkara 10(1) UUTKNS pernah dijalankan di hadapannya.
Beliau berkata, dakwaan Undang Luak Johol dalam afidavit sokongan bertarikh 17 Julai 2026 bahawa siasatan berkenaan dijalankan dalam mesyuarat pada 5 Mac 2026 di Balai Undang Sungai Ujong adalah tidak benar.
“Tidak ada sebarang dakwaan pernah dikemukakan terhadap DYMM Tuanku Muhriz. Baginda juga tidak pernah diberi peluang untuk menjawab sebarang dakwaan.
“Hal ini merupakan suatu pelanggaran serius terhadap prinsip keadilan asasi,” katanya.
Dalam pada itu, Aminuddin mempersoalkan perubahan pendirian Kerajaan Negeri berhubung status proklamasi tersebut.
Menurutnya, pada 9 September lalu, Kerajaan Negeri menyatakan secara terbuka bahawa dokumen proklamasi berkenaan tidak memenuhi proses dan tatacara ditetapkan dalam Perkara 10 UUTKNS, selain menyifatkannya tidak sah, bercanggah dengan perlembagaan dan tidak boleh dilaksanakan.
Namun, katanya, tujuh hari kemudian EXCO Kerajaan Negeri yang sama memutuskan bahawa proklamasi itu telah lengkap dan berkuat kuasa.
Beliau turut mendakwa EXCO tidak mempunyai kuasa di bawah UUTKNS untuk membuat keputusan berhubung kedudukan Tuanku Muhriz.
Aminuddin berkata, Dewan Keadilan dan Undang yang bersidang pada 13 September dan mengeluarkan keputusan pada 14 September lalu turut menegaskan bahawa proklamasi berkenaan tidak sah dan terbatal sejak awal.
Katanya, keputusan itu juga menegaskan Tuanku Muhriz ialah satu-satunya Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan keputusan berkenaan telah disampaikan kepada Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan Negeri serta Penasihat Undang-Undang Negeri.
Aminuddin turut mempersoalkan pengumuman pada 16 September yang menyatakan proklamasi hanya disempurnakan menurut Perkara 10(2) selepas Menteri Besar menandatangani dokumen berkenaan pada 3 Ogos 2026.

Pada masa sama, katanya, pengumuman itu menyatakan seorang pengganti telah dipilih pada 19 April 2026 menurut Perkara 11.
“Pengganti tidak boleh dipilih selagi jawatan berkenaan masih disandang.
“Saya tidak mengiktiraf pengumuman pada 16 September lalu itu. Saya menegaskan bahawa Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir ialah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan,” katanya.
Aminuddin turut mendakwa tindakan ahli EXCO mengeluarkan pengumuman berkenaan sebagai perbuatan derhaka terhadap Tuanku Muhriz.
Beliau menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya terhadap setiap ahli EXCO yang terlibat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








