Pembaca meter TNB cedera diserang dua individu ketika bertugas
PUTRAJAYA – Tenaga Nasional Berhad (TNB) membuat laporan polis berhubung insiden kekasaran terhadap seorang pembaca meter syarikat itu ketika menjalankan tugas rasmi di Pangsapuri Taman Bukit Segar, Kuala Lumpur, pagi semalam.
TNB dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya memandang serius kejadian berkenaan dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan.
Menurut syarikat itu, berdasarkan laporan awal, petugas berkenaan didatangi sebelum diserang oleh dua individu ketika berada di kawasan pangsapuri tersebut.
“Insiden itu menyebabkan petugas mengalami kecederaan dan beliau telah mendapatkan rawatan di hospital,” menurut kenyataan itu.
TNB menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan yang boleh mengancam keselamatan warga kerjanya ketika menjalankan tugas.
Sehubungan itu, orang ramai diminta memberikan kerjasama kepada petugas TNB yang menjalankan tugas rasmi.
TNB turut menggalakkan orang ramai menyalurkan sebarang pertanyaan atau maklum balas menerusi saluran rasmi syarikat berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








