Nahas konvoi RXZ: Pemandu Vios tampil nafi dakwaan tular, buat laporan polis
KUANTAN – Pemandu dan pemilik Toyota Vios putih yang terlibat dalam kemalangan tragis membabitkan sekumpulan penunggang Yamaha RXZ di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) berhampiran Plaza Tol Jabor, awal pagi tadi tampil memberi penjelasan berhubung kejadian itu selepas timbul pelbagai dakwaan di media sosial.
Pemandu terbabit, Muhammad Irfan Aziz, 25, berkata, beliau membuat laporan polis bagi menafikan beberapa tuduhan yang menurutnya tidak benar, selain melahirkan kebimbangan terhadap keselamatan diri dan ahli keluarganya susulan penyebaran pelbagai maklumat yang didakwa tidak tepat mengenai kejadian itu.
Menurut Muhammad Irfan, ketika kejadian beliau bersama ahli keluarganya dalam perjalanan pulang ke Terengganu selepas menziarahi ibu saudaranya yang sedang menerima rawatan akibat kanser tahap empat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.

Beliau mendakwa selepas keluar dari Plaza Tol Kuantan, mereka melihat sekumpulan besar motosikal Yamaha RXZ berkumpul sebelum meneruskan perjalanan di lebuh raya.
Katanya, ketika memandu di lorong kanan pada kelajuan sekitar 110 hingga 120 kilometer sejam, sebuah motosikal berada di hadapan sebelum beberapa lagi motosikal datang dari arah belakang pada kelajuan tinggi.
“Pandangan saya menjadi silau ketika melihat cermin pandang belakang kerana banyak lampu motor terlihat dan memecut dalam keadaan yang sangat laju.
“Boom! Kereta kami dirempuh di bahagian belakang. Ketika kejadian tersebut, saya berhati-hati untuk ke bahagian sisi kira jalan (lorong kecemasan) bagi mencari perlindungan.
“Ketika itu saya melihat banyak motor terlanggar sama sendiri yang mengakibatkan kemalangan yang amat dahsyat,” katanya menerusi siri hantaran di platform Threads.
Muhammad Irfan turut menjelaskan bahawa video yang dirakam di lokasi kejadian dibuat ketika beliau dan ahli keluarganya masih belum mengetahui terdapat mangsa yang maut.
Katanya, keutamaan mereka ketika itu adalah membantu adiknya yang cedera akibat rempuhan serta menunggu pasukan penyelamat tiba.
BACA JUGA:
Empat penunggang RXZ maut dalam nahas libat 13 kenderaan di LPT
Nahas konvoi RXZ: Lebih 30 motosikal terbabit, 20 cedera selain empat maut
Nahas konvoi RXZ: Polis siasat video tular dakwa penunggang berlumba
Beliau mendakwa mereka turut memberikan kerjasama kepada pasukan penyelamat dan membenarkan mangsa lain menerima rawatan terlebih dahulu walaupun ahli keluarganya sendiri mengalami kecederaan.
Susulan pelbagai dakwaan yang tular, beliau tampil membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan.
Dalam laporan berkenaan, Muhammad Irfan menafikan dakwaan bahawa kenderaannya sengaja berhenti di lorong kanan lebuh raya sehingga menyebabkan kemalangan, selain menolak tuduhan kononnya beliau menukar lorong tanpa memberikan isyarat.
Bagi menyokong kenyataannya, beliau turut berkongsi beberapa bahan termasuk rakaman video di lokasi kejadian, cap masa rakaman telefon, rekod panggilan ke talian kecemasan 999 serta gambar keadaan Toyota Vios selepas kemalangan.
Pada akhir kenyataannya, Muhammad Irfan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga semua mangsa yang terkorban.
“Salam takziah untuk keluarga mangsa yang terlibat. Di sini, saya tidak ingin menyalah mana-mana pihak, saya cuma ingin meluruskan segala lontaran yang telah diberi kepada kami.
“Saya yang memandu kereta tersebut, bukannya kakak saya seperti yang disebarkan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan empat penunggang RXZ meninggal dunia, manakala 20 lagi cedera dalam satu kemalangan berantai melibatkan lebih 30 kenderaan di LPT awal pagi tadi.
Nahas itu mengorbankan Che Mohd Sufian Che Ghani, 40, Muhammad Hafiz Al Hakim Mazlan, 33, dan Mohd Aizat Husni, 33, yang meninggal dunia di lokasi kejadian.
Seorang lagi mangsa, Muhammad Safawi Md Noh, 24, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















