Bekas PTD buat laporan polis terhadap Chegubard isu pendedahan maklumat peribadi
KUALA LUMPUR – Bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan mengambil tindakan undang-undang dengan membuat laporan polis terhadap aktivis politik, Chegubard berhubung pendedahan maklumat peribadi yang didakwa disebarkan tanpa kebenaran termasuk butiran akaun perbankan dan dokumen sulit.
Difahamkan, Muhammad Hafizuddeain, 58, hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada pukul 12.30 tengah hari bersama dua orang peguam bagi membuat laporan berkenaan.
Peguamnya, Aizul Rohan Anuar ketika ditemui pemberita berkata, laporan polis itu dibuat susulan pendedahan maklumat peribadi anak guamnya yang dipercayai disebarkan oleh Chegubard atau nama sebenarnya, Badrul Hisham Shaharin.
“Dua laporan polis membabitkan dokumen-dokumen sulit termasuk dan tidak terhad kepada akaun perbankan Tan Sri (Muhammad Hafizuddeain) dan dokumen serta kertas tentera yang sepatutnya sulit.
“Jadi, kita buat laporan hari ini kerana penyata bank adalah dokumen dilindungi mengikut Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 yang mana ia tidak sepatutnya disebarkan,” katanya memetik laporan Metro Online.
Menurutnya, pihaknya tidak mengetahui sama ada dokumen tersebut didedahkan oleh pihak bank atau mana-mana pihak lain, justeru laporan polis dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan secara menyeluruh.
Mengulas lanjut, Aizul berkata pihaknya turut mempertimbangkan untuk mengambil tindakan sivil terhadap pihak terlibat termasuk institusi perbankan, namun keputusan muktamad masih belum dibuat.
“Tindakan sivil kepada dan tidak terhad ke atas Chegubard dan individu yang mengeluarkan kenyataan fitnah termasuk institusi perbankan terbabit.
“Sama ada kami akan ambil tindakan, itu belum diputuskan namun macam saya kata Tan Sri sedang mempertimbangkan tindakan itu secara serius kerana benda ini (pendedahan maklumat peribadi) semua tidak sepatutnya berlaku,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







