JENAYAH & MAHKAMAH

Bekas PTD mengaku tidak bersalah, didakwa terima hasil aktiviti haram RM145,000

SHAH ALAM – Bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, 58, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan baharu menerima hasil aktiviti haram membabitkan jumlah RM145,000 di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.

Pendakwaan terbaharu itu menjadikan keseluruhan jumlah penerimaan hasil aktiviti haram yang didakwa terhadapnya kini mencecah RM2.26 juta termasuk empat pertuduhan yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam.

Pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

Bagi kedua-dua pertuduhan tersebut, Muhammad Hafizuddeain didakwa menerima hasil aktiviti haram berjumlah keseluruhan RM145,000 yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya, memetik laporan Kosmo! Online.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah cawangan bank di Ampang Point antara 19 September 2024 hingga 19 Mei 2025.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana yang lebih tinggi, bagi setiap pertuduhan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mahadi Abdul Jumaat mencadangkan agar tertuduh diberikan jaminan sama seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam.

Pihak pendakwaan turut memohon supaya kes tersebut dipindahkan dan dibicarakan secara bersekali dengan empat pertuduhan lain yang sedang dihadapi tertuduh di mahkamah berkenaan.

Peguam Aizul Rohan Anuar yang mewakili tertuduh tidak membantah cadangan itu.

Mahkamah kemudiannya membenarkan semua permohonan pihak pendakwaan termasuk syarat tambahan jaminan yang telah diputuskan sebelum ini di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Semalam, media melaporkan Muhammad Hafizuddeain mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menerima hasil aktiviti haram lebih RM2 juta di hadapan Hakim Azura Alwi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button