JENAYAH & MAHKAMAH

Keputusan kes pengubahan wang haram Jabatan Air Sabah ditetapkan 8 Mei

KOTA KINABALU – Mahkamah Khas Rasuah di sini menetapkan 8 Mei depan bagi menyampaikan keputusan kes pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan Jabatan Air Sabah, selepas pihak pembelaan menutup kes mereka kelmarin.

Hakim Mahkamah Sesyen, Abu Bakar Manat, turut menetapkan tarikh 7 April bagi kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis secara serentak, manakala hujahan balas secara lisan akan didengar pada 22 dan 23 April.

Kes berprofil tinggi itu mula mendapat perhatian pada 2016 susulan serbuan besar-besaran oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membawa kepada rampasan wang tunai berjumlah jutaan ringgit serta pelbagai barangan berharga, antara rampasan terbesar pernah dilakukan di Sabah.

Tiga tertuduh dalam kes berkenaan ialah bekas Pengarah Jabatan Air Sabah, Ag Mohd Tahir, 63, isterinya Fauziah Piut, 58, serta bekas Timbalan Pengarah jabatan itu, Lim Lam Beng @ Lim Chee Hong, 69, yang didakwa pada 28 Disember 2016.

Kesemua mereka mengaku tidak bersalah.
Ag Mohd Tahir berdepan 11 pertuduhan, manakala Fauziah menghadapi 19 pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA).

Fauziah turut berdepan dua pertuduhan bersama suaminya, sementara Ag Mohd Tahir menghadapi satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(a) akta sama.

Kesalahan yang didakwa membabitkan Ag Mohd Tahir dan isterinya dikatakan berlaku antara 4 Oktober hingga 4 November 2016 di beberapa lokasi termasuk pejabat, kediaman, cawangan bank, sebuah kondominium di Sulaman serta sebuah menara di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Lim didakwa melakukan kesalahan antara 13 Oktober hingga 8 November 2016 di pejabat SPRM di Jalan Universiti Malaysia Sabah (UMS) serta sebuah kediaman di sini.

Perbicaraan yang bermula pada 7 Mei 2018 itu menyaksikan pihak pendakwaan memanggil 44 saksi, manakala pihak pembelaan memanggil 15 saksi, termasuk beberapa saksi yang sebelum ini ditawarkan oleh pendakwaan seperti bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, dan bekas menteri, Datuk Raymond Tan Shu Kiah.

Pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Jumaat, Haresh Prakash Somiah dan Zander Lim, manakala tertuduh diwakili beberapa peguam kanan.

Untuk rekod, seorang lagi bekas Timbalan Pengarah Jabatan Air Sabah, Teo Chee Kong, yang pada asalnya didakwa bersama ketiga-tiga tertuduh, telah dilepas dan dibebaskan pada 17 Mei 2022, sebelum menjadi saksi pendakwaan dalam kes berkenaan. Beliau kemudiannya dikenakan kompaun RM30 juta oleh SPRM.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button