Peguam mohon jaminan Mahadi, bimbang janggut dipotong jika dipenjara
KUALA LUMPUR – Peguam kepada suami selebriti Heliza Helmi, Datuk Mahadi Badrul Zaman yang berdepan pertuduhan berniaga dalam sekuriti tanpa lesen, memohon mahkamah membenarkan jaminan atas kebimbangan anak guamnya berisiko dipenjarakan dan janggut panjangnya dipotong.
Peguam bela Datuk Mohd. Zamri Mohd. Idrus berkata, sekiranya jaminan tidak dibenarkan atau ditetapkan pada jumlah terlalu tinggi sehingga tertuduh tidak mampu membayar, keadaan itu boleh menjejaskan anak guamnya.
“Jika tidak dibenarkan jaminan, anak guam saya mungkin dipenjarakan dan janggutnya berkemungkinan dipotong. Perkara ini akan memberi kesan kepadanya,” memetik Kosmo online.
Menurutnya, Mahadi, 43, sebelum ini turut membantu menguruskan jemaah umrah selain memberi kerjasama sepanjang siasatan dan bukan individu yang berisiko melarikan diri.
Mahadi mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di dua mahkamah berasingan di hadapan Hakim Azrul Darus dan Hakim Norma Ismail.
Sementara itu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Danial Imran Nasaruddin memohon mahkamah mempertimbangkan kepentingan awam serta keyakinan pelabur dalam pasaran sekuriti.
Pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM250,000 dengan dua penjamin, selain syarat tambahan seperti pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan perlu melapor diri di pejabat suruhanjaya tersebut setiap bulan.
Mahkamah kemudian membenarkan Mahadi diikat jamin masing-masing RM50,000 dengan seorang penjamin serta mengenakan syarat tambahan seperti yang dipohon pihak pendakwaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







