JENAYAH & MAHKAMAH

Mahkamah arah kerja roboh kuil di Rawang dihentikan

KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret Selayang memutuskan sebuah yayasan tidak boleh meneruskan kerja merobohkan sebuah kuil Hindu di Rawang buat sementara waktu sehingga keputusan dibuat oleh Mahkamah Tinggi.

Majistret Chai Guan Hock berkata, mahkamah mendapati wujud pertikaian berhubung status pemilikan tanah yang menempatkan kuil berkenaan.

Menurutnya, kuil tersebut telah berada di lokasi berkenaan sejak tahun 1995, manakala pemilik tanah semasa hanya memperoleh hak milik tanah itu pada tahun 2021.

“Mahkamah turut mengambil kira isu di tapak tersebut berpotensi menimbulkan ketegangan awam sekiranya tidak dikendalikan dengan baik,” memetik BH online.

Beliau berkata, pihak pengurusan kuil dan pemilik tanah perlu mengemukakan kenyataan bertulis serta dokumen sokongan bagi membantu mahkamah menentukan pemilik sebenar tapak berkenaan.

“Mahkamah akan meneliti dokumen daripada kedua-dua pihak sebelum membuat keputusan lanjut,” katanya lagi.

Peguam Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh Sohanpal yang mewakili pengurusan Kuil Sri Uchimalai Muniswaran berkata, keputusan mahkamah itu bermakna status quo di tapak berkenaan perlu dikekalkan buat masa ini.

Menurut Rajesh, pihak jawatankuasa kuil tidak mempertikaikan pemilikan tanah oleh pemiliknya, namun membantah cara sebahagian kuil tersebut dirobohkan yang didakwa dilakukan tanpa prosedur yang sah.

“Jika sebuah kuil hendak dipindahkan atau diusir, pihak terbabit perlu mendapatkan perintah mahkamah terlebih dahulu.

“Tidak boleh datang pada tengah malam dengan jentera dan merobohkan rumah ibadat. Perkara itu tidak boleh diterima,” katanya lagi.

Tambahnya, polis turut ditempatkan di lokasi berkenaan sebelum ini bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini kerana situasi di kawasan itu berpotensi mencetuskan ketegangan.

Mahkamah menetapkan 5 Jun depan untuk prosiding inkuiri kes berkenaan.

Sementara itu, pada 27 Februari lalu, jawatankuasa kuil memfailkan saman di Mahkamah Majistret Shah Alam bagi menghalang sebarang tindakan yang boleh menjejaskan ketenteraman sementara menunggu perintah pengusiran daripada Mahkamah Tinggi.

Sebelum itu, pada 11 Februari, polis menahan empat lelaki yang didakwa cuba merobohkan sebahagian kuil tersebut tanpa berbincang dengan pengurusan kuil atau memaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan.

Keempat-empat mereka bagaimanapun telah dibebaskan selepas siasatan dijalankan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button