BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Abai rakan cedera parah hingga maut, peniaga didenda RM500

KUALA LUMPUR – Akibat cuai mendapatkan rawatan untuk rakan yang mengalami kecederaan parah sehingga membawa maut, seorang peniaga dijatuhi hukuman denda RM500 oleh Mahkamah Majistret Ampang, hari ini.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Amalina Basirah Md Top selepas tertuduh, Oon Tien Yue, 37, mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di mahkamah.

Tien Yue didakwa dengan cuai sehingga membahayakan nyawa mangsa, Law Mun How, 37, yang juga seorang pemandu e-hailing, gagal mendapatkan rawatan perubatan bagi mangsa yang cedera parah sehingga mangsa akhirnya meninggal dunia.

Sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut, Tien Yue berdepan hukuman penjara selama sebulan.

Mengikut pertuduhan, Tien Yue didakwa dengan cuai sehingga membahayakan nyawa mangsa, Law Mun How, 37, yang juga seorang pemandu e-hailing, apabila gagal mendapatkan rawatan perubatan bagi mangsa yang cedera parah.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Pandan Perdana, Ampang, antara pukul 10.30 pagi, 20 Jun hingga 7.50 malam pada 22 Jun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda sehingga RM500 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya M. Ramanathan, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Berdasarkan fakta kes, siasatan polis mendapati mangsa yang mengalami kecederaan parah telah tidur di dalam sebuah kereta yang diletakkan di hadapan rumah tertuduh selama hampir seminggu bermula 14 hingga 20 Jun.

Tien Yue kemudian membawa mangsa masuk ke dalam rumah, namun hanya membiarkan mangsa duduk di ruang tamu tanpa sebarang rawatan perubatan sehingga mangsa akhirnya meninggal dunia.

Laporan bedah siasat Hospital Kuala Lumpur (HKL) mendapati punca kematian mangsa adalah akibat luka yang dijangkiti kuman hingga bernanah dan mengeluarkan bau busuk.

Pakar forensik turut menemui kesan kecederaan serius seperti keretakan pada tulang tangan kiri, selangka kanan serta beberapa tulang rusuk di bahagian kiri dan kanan, selain kesan lebam dan lecet di muka, lengan, kedua-dua kaki serta bahagian hadapan dan belakang badan mangsa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button