JENAYAH & MAHKAMAH

Ismail Sabri bakal didakwa di Mahkamah Sesyen KL esok

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadual didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok berhubung kes pengisytiharan harta di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Memetik laporan BERNAMA, peguam yang mewakili Ismail Sabri, Datuk Amer Hamzah Arshad, mengesahkan anak guamnya akan hadir di mahkamah bagi prosiding yang dijadual bermula jam 9 pagi.

Berdasarkan semakan sistem mahkamah, kes berkenaan akan disebut di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Ahli Parlimen Bera itu dijangka menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 berkaitan pengisytiharan harta.

Prosiding yang sepatutnya berlangsung pada 7 Ogos lalu ditangguhkan ke 27 Ogos selepas Ismail Sabri dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) kerana masalah kesihatan.

Pada prosiding terdahulu, Amer Hamzah memohon penangguhan selepas anak guamnya mengalami kemungkinan degupan jantung tidak sekata dan dijadualkan menjalani prosedur pemasangan perentak jantung.

Peguam itu turut memaklumkan Ismail Sabri mengalami masalah jantung ketika memberikan rakaman percakapan kepada SPRM pada 6 Ogos lalu.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri itu dipanggil beberapa kali oleh SPRM bagi membantu siasatan berhubung pengisytiharan harta yang dibuatnya kepada agensi berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, SPRM sebelum ini merampas wang tunai berjumlah RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing serta menyita 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai RM7 juta, susulan siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan beliau.

Rampasan berkenaan dilakukan ketika penggeledahan di kediaman dan pejabat yang dipercayai dijadikan ‘rumah selamat’, susulan siasatan terhadap empat pegawai kanan Ismail Sabri yang ditahan pada Februari 2025.

Ismail Sabri bagaimanapun belum didapati bersalah terhadap sebarang pertuduhan sehingga proses mahkamah selesai.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button