Bekas PTD didakwa lagi di Mahkamah Sesyen Shah Alam
SHAH ALAM – Bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dijadualkan didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini, berhubung kes pengubahan wang haram.
Semakan dalam sistem mahkamah mendapati kes tersebut akan disebut di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin pada pukul 9 pagi.
Semalam, Muhammad Hafizuddeain, 58, telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah lebih RM2.12 juta.
Bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.
Kelmarin, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan Muhammad Hafizuddeain dan isterinya, Salwani Anuar @ Kamaruddin, masing-masing akan didakwa dengan empat pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) di Mahkamah Khas Rasuah Kuala Lumpur.
Menurut SPRM, bekas pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu juga akan berdepan dua lagi pertuduhan di bawah seksyen dan akta sama di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini, manakala isterinya akan didakwa dengan satu pertuduhan lagi di Mahkamah Sesyen Jertih, Terengganu pada Isnin depan.
Kes itu turut dikaitkan dengan Ops Parasit apabila SPRM pada 7 Januari lalu menahan seorang pegawai tinggi bersama dua isterinya berhubung projek perolehan tender Tentera Darat.
Pegawai tersebut direman selama tujuh hari manakala kedua-dua isterinya masing-masing direman selama tiga dan enam hari.
Siasatan SPRM terhadap kes berkenaan bermula sejak 7 Oktober 2025 dan disifatkan sebagai sensitif kerana melibatkan pegawai berpangkat tinggi serta kepentingan awam.
Pada 23 Disember 2025, sepasukan pegawai SPRM turut hadir ke Kementerian Pertahanan Malaysia bagi memulakan siasatan awal terhadap beberapa projek membabitkan Tentera Darat sejak 2023.
Sementara itu, Khamis lalu media melaporkan seramai 23 individu, termasuk dua pegawai tinggi dan empat pegawai kanan ATM, ditahan SPRM bagi membantu siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa melibatkan isu perolehan serta penggunaan dana awam.
Kes tersebut turut dikaitkan dengan dakwaan penerimaan rasuah daripada beberapa syarikat berkaitan perolehan pembekalan di Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) dan Kementerian Pertahanan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








