Pembantu Dr Zaliha dakwa ada pihak cuba rasuah RM50 juta ketika pegang jawatan Menteri Kesihatan
Suapan dipercayai bagi menggugurkan dasar GEG tembakau yang sedang dirangka KKM
KUALA LUMPUR – Pembantu kepada Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa mengakui wujud ‘pihak tertentu’ yang cuba merasuah ketika beliau memegang jawatan Menteri Kesihatan dari Dis 2022 hingga Dis 2023.
Menurut G. Sivamalar, tawaran sebanyak RM50 juta itu adalah bagi menggugurkan dasar generational end game (GEG) tembakau yang ketika itu sedang dirangka Kementerian Kesihatan (KKM).
“Di Kementerian Kesihatan (KKM), beliau telah lama menunjukkan prinsipnya. Beliau bertegas ketika berdepan syarikat tembakau dan kepentingan korporat besar.
“Beliau pernah ditawarkan RM50 juta untuk menggugurkan dasar generational end game. Beliau menolaknya tanpa ragu dan meminta mereka keluar. Saya berada di situ. Saya menyaksikannya sendiri,” kata Sivamalar dalam satu rencana yang dimuat naik portal Malaysia Gazette, Khamis lalu.
Laporan susulan oleh portal Codeblue memberitahu, Sivamalar mengakui tiada laporan dibuat kepada pihak berkuasa mengenai cubaan itu.
“Tiada siapa boleh menghalang kami ketika itu. Kami tidak mahu membuang masa. Kami hanya fokus kepada apa yang perlu kami lakukan,” katanya.
Apabila ditanya mengenai syarikat atau pihak yang membuat tawaran rasuah itu, Sivamalar menjawab: “Ramai orang, melalui orang tengah. Panggilan rawak. Kami menolak mentah-mentah sebelum berbincang lanjut. Beliau enggan bertemu sesiapa pun mengenai perkara itu.”
Ketika diminta memberi penjelasan lanjut mengenai masa, lokasi dan pihak yang diwakili orang tengah terbabit, Sivamalar pada awalnya berkata: “Sudah dua tahun. Tak ingat. Pasti bukan secara bersemuka.”
Namun apabila artikel terdahulunya yang menyatakan tawaran dibuat dalam satu pertemuan bersemuka dipetik, Sivamalar menjelaskan: “Ketika itu banyak panggilan dan mesyuarat mengenai perkara ini. Tak ingat butiran tepat. Sudah dua tahun,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








