Polis terima dua laporan lelaki pijak bendera Sarawak
KUCHING – Polis mengesahkan menerima dua laporan berhubung tindakan seorang lelaki yang didakwa memijak bendera Sarawak dalam satu kejadian di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, kedua-dua laporan itu dibuat di Balai Polis Sungai Maong dan Balai Polis Gita.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berkenaan dirakam dalam video berdurasi kira-kira lima saat sebelum dimuat naik oleh seorang pengguna TikTok dan dikongsi semula oleh beberapa akaun media sosial lain.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan.
Alexson turut meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching di talian 08-2244444.
Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mengganggu keamanan atau mencetuskan provokasi sehingga menimbulkan kemarahan awam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








