Bendera MyCARE terus berkibar di Gaza walaupun pejabat musnah dibom
GAZA – Di sebalik kemusnahan akibat serangan berterusan, bendera MyCARE terus berkibar megah di atas runtuhan pejabat pertubuhan kemanusiaan itu di Gaza sekali gus menjadi simbol penghargaan penduduk tempatan terhadap usaha berterusan Malaysia membantu mereka.
Perkara itu dikongsikan sukarelawan kemanusiaan, Dr Ziad Shehada yang memaklumkan beliau melalui kawasan pejabat MyCARE dan melihat bendera organisasi tersebut tergantung di atas timbunan runtuhan bangunan.
Menurutnya, penduduk sekitar memberitahu bahawa bendera itu ditemui di atas bumbung salah sebuah rumah berhampiran selepas diterbangkan kuat akibat pengeboman, sebelum mereka mengambil keputusan untuk mengibarkannya semula sebagai tanda penghormatan.
“Saya bertanya kepada jiran-jira dan mereka memaklumkan bahawa mereka menemukannya selepas ia diterbangkan akibat kuatnya serangan.
“Mereka kemudian menggantungnya sebagai tanda penghargaan terhadap usaha MyCARE di Gaza,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Sementara itu, MyCARE dalam kenyataan di Facebook berkata, walaupun sedih melihat pejabat mereka musnah, pihaknya bangga apabila bendera tersebut tetap berkibar.
Malah lebih bermakna apabila ia dikibarkan sendiri oleh penduduk Gaza sebagai tanda hormat terhadap organisasi itu.
“Terima kasih kepada semua penyumbang MyCARE,” kata kenyataan itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















