
PBB rayu bantuan kemanusian ke kawasan terkepung dilepaskan segera
Lori tersebut bukan sekadar trak namun talian hayat bagi penduduk Gaza
RAFAH, Mesir – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres merayu supaya trak bantuan ke Gaza yang terkepung dilepaskan segera.
Rayuan itu dibuat sewaktu lawatan beliau ke Rafah yang terletak di sempadan Mesir dan Semenanjung Gaza, pada Jumaat.
Guterres menyifatkan kelewatan menghantar makanan, air, ubat-ubatan dan bahan api kepada mereka yang memerlukan sebagai sesuatu yang amat menyayat hati.
Tambahnya, lori ini bukan sekadar trak namun talian hayat antara hidup dan mati bagi penduduk Gaza.
Dalam satu perkembangan berkaitan, rejim Zionis dilaporkan mengancam untuk mengebom Hospital Al-Quds di Semenanjung Gaza.
Menurut Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS), tentera rejim Zionis telah mengarahkan supaya hospital itu dikosongkan kerana “operasi ketenteraan’ akan dijalankan di kawasan itu.
Dalam hantaran di laman X, PRCS berkata, hospital itu dijadikan tempat perlindungan ribuan wanita dan kanak-kanak yang hilang tempat tinggal akibat serangan bertali arus rejim.
Ketika ini terdapat sekitar 12,000 penduduk berlindung di hospital berkenaan termasuk 70 peratus terdiri daripada kanak-kanak dan wanita yang berada dalam keadaan ketakutan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







