Kabinet Israel lulus perjanjian gencatan senjata Gaza, tawanan akan dibebaskan
TEL AVIV – Kabinet pimpinan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada awal pagi tadi meluluskan perjanjian gencatan senjata di Gaza yang membolehkan pembebasan tahanan sebagai pertukaran dengan tawanan Palestin serta penghentian sementara pertempuran.
Keputusan itu dibuat walaupun mendapat tentangan daripada beberapa anggota parti gabungan sayap kanan dalam kerajaan, lapor Times Of Israel.
Antaranya termasuklah Menteri Keselamatan Negara Itamar Ben Gvir dan Menteri Warisan, Amichay Eliyahu daripada parti Otzma Yehudit serta Menteri Kewangan Bezalel Smotrich dan Menteri Penempatan Orit Strock daripada parti Religious Zionism.
Menteri Imigresen Ofir Sofer daripada parti sama menyokong perjanjian itu.
Menurut Pejabat Perdana Menteri Israel, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) akan berundur ke garisan baharu di Gaza dan selepas 72 jam, kumpulan Hamas dijangka membebaskan semua tawanan.
“Kita telah berjuang selama dua tahun untuk mencapai matlamat perang ini.
“Salah satu objektif utamanya ialah membawa pulang semua tawanan yang masih hidup dan yang telah terkorban. Dan kita hampir mencapainya,” kata Netanyahu.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan pasukannya termasuk penasihat Steve Witkoff dan Jared Kushner atas peranan mereka dalam memudahkan rundingan perjanjian.
“Kita tidak akan sampai ke tahap ini tanpa bantuan luar biasa Presiden Trump dan pasukannya.
“Keberanian tentera kita memasuki Gaza serta tekanan ketenteraan dan diplomatik yang mengasingkan Hamas telah membawa kita ke titik ini,” tambahnya.
Kushner pula memuji keberanian tentera Israel (IDF) bukan sahaja di Gaza tetapi juga dalam usaha menumpaskan Hezbollah di utara sambil menegaskan bahawa pembebasan tawanan menjadi keutamaan Presiden Trump sejak sekian lama.
Perjanjian itu dilihat sebagai langkah penting dalam usaha menghentikan pertempuran di Gaza dan memberi peluang kepada proses diplomatik selanjutnya di wilayah tersebut serta membolehkan Israel mencapai matlamat membawa pulang semua tawanan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








