Gencatan senjata: MINDEF tetap beri keutamaan keselamatan anggota MALBATT
KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (MINDEF) memberi keutamaan penuh kepada aspek keselamatan anggota Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 meskipun gencatan senjata selama 10 hari antara Lubnan dan Israel telah berkuat kuasa.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pasukan MALBATT yang sedang melaksanakan misi di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) kekal berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi bagi menghadapi sebarang kemungkinan di lapangan.
Menurut beliau, perkembangan itu dilihat sebagai langkah positif susulan ketegangan sebelum ini namun situasi keselamatan di selatan Lubnan masih tidak menentu berikutan beberapa laporan pelanggaran gencatan senjata.
“Semua pihak perlu menghormati sepenuhnya perjanjian yang telah dipersetujui bagi mengelakkan ketegangan kembali memuncak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau memaklumkan, semua anggota MALBATT setakat ini berada dalam keadaan selamat dan terus melaksanakan tugas seperti yang ditetapkan di bawah mandat UNIFIL.
“MINDEF melalui Markas Angkatan Bersama akan terus memantau rapat perkembangan situasi bersama UNIFIL dan pihak berkaitan di lapangan.
“Sebarang pelarasan operasi akan dibuat berdasarkan arahan UNIFIL serta penilaian semasa keadaan keselamatan,” katanya.
Dalam pada itu, MINDEF berharap gencatan senjata yang dipersetujui dapat dipatuhi sepenuhnya oleh semua pihak sebagai asas kepada penyelesaian berkekalan melalui rundingan diplomatik demi kestabilan serantau.
Psaukan MALBATT kini beroperasi dalam fasa paling sensitif dengan fokus utama bukan sahaja kepada mandat pengaman, tetapi juga perlindungan anggota di tengah konflik bersenjata yang semakin meluas di selatan Lubnan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















