PENDAPATRENCANA

Digitalisasi keluarga ATM: Buka jalan baharu jana pendapatan

Oleh DR UMI HAMIDATON MOHD SOFFIAN LEE

Oleh DR UMI HAMIDATON MOHD SOFFIAN LEE

Penulis merupakan Penyelaras Teras 3, Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah, PPKI merangkap Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

DALAM usaha membina ekonomi yang lebih inklusif dan berdaya tahan, pemerkasaan masyarakat perlu menjadi antara keutamaan pembangunan negara.

Rakyat bukan sekadar hanya perlu dibantu untuk menghadapi tekanan kos sara hidup, tetapi juga diberikan ruang, kemahiran akses dan peluang untuk meningkatkan pendapatan serta membina sumber yang lebih mampan.

Ia selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menempatkan kesejahteraan dan kebajikan rakyat melalui penjanaan ekonomi sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan negara.

Dalam ekonomi yang semakin dipacu oleh teknologi, pemerkasaan masyarakat tidak hanya terbatas kepada bantuan kewangan dan kemudahan fizikal semata tetapi kini turut melibatkan akses internet dan teknologi digital.

Masyarakat perlu diberikan peluang untuk menjadi pengusaha, pencipta nilai dan penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.

tentera
Anggota tentera tidak berkhidmat sendirian tetapi di belakang mereka terdapat keluarga yang turut melalui tuntutan kehidupan. – Foto Kementerian Pertahanan

Pendekatan ini juga relevan dalam memperkukuh kesejahteraan komuniti Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Usaha menyediakan instrastuktur digital di kawasan perumahan tentera misalnya bukan sekadar meningkatkan keselesaan kehidupan seharian warganya tetapi membuka ruang baharu kepada keluarga tentera untuk menceburi bidang keusahawanan dan bekerja secara digital.

Justeru, usaha Kementerian Pertahanan (MINDEF) melalui peranan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin memperkukuh kemudahan digital di kawasan perumahan ATM wajar dilihat daripada perspektif yang lebih luas.

Ia bukan sekadar projek menyediakan sambungan internet kepada warga kem, tetapi berpotensi menjadi satu bentuk pelaburan sosial dan ekonomi untuk memperkasakan keluarga anggota tentera.

Khaled Pulau Banggi
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. – Foto MINDEF

Hakikatnya, anggota tentera tidak berkhidmat secara sendirian tetapi di belakang setiap anggota terdapat keluarga yang turut melalui tuntutan kehidupan, termasuk cabaran ekonomi, pendidikan dan keperluan sumber tambahan.

Oleh itu, kebajikan keluarga tentera perlu dilihat dalam kerangka yang lebih menyeluruh.

Kebajikan tidak seharusnya diterjemah melalui bantuan jangka pendek dalam bentuk tunai, sumbangan dan bantuan kecemasan semata-mata tetapi pendekatan lebih mampan adalah mewujudkan persekitaran yang membolehkan keluarga tentera membina keupayaan diri.

Bagi menyokong agenda tersebut, beberapa inisiatif digerakkan bagi memperkukuh ekosistem komuniti dan institusi keluarga warga pertahanan.

Salah satu langkah yang semakin mendapat perhatian ialah pemerkasaan infrastruktur digital dalam kawasan kediaman tentera melalui perlaksanaan Projek Fiber ke Rumah di kawasan perumahan ATM.

MINDEF dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengusahakan projek tersebut di 73 kem tentera yang melibatkan lebih 59,000 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera.

MCMC
Logo Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Projek ini dijadualkan siap menjelang Mei 2027, dengan setiap isi rumah akan menikmati sambungan Internet berkelajuan 100Mbps pada kadar langganan RM49 sebulan.

Angka ini mungkin kelihatan seperti sekadar statistik pembangunan infrastruktur, namun disebaliknya terdapat potensi ekonomi yang jauh lebih besar.

Dengan akses intenet yang stabil dan berkelajuan tinggi, rumah keluarga tentera bukan lagi sekadar tempat tinggal.

Ia berpotensi menjadi ruang pembelajaran, tempat bekerja dari rumah, pusat perkhidmatan digital dan tapak kepada perusahaan kecil yang dikendalikan oleh keluarga.

Jika diamati, inisiatif seperti ini mencerminkan peralihan Program Ekonomi MADANI dan pembangunan komuniti kem yang mula bergerak melangkaui kerangka kebajikan tradisional dengan memberi penekanan kepada pengupayaan ekonomi dan mobiliti sosial keluarga tentera secara lebih mampan.

Memangkin keusahawanan digital warga kem

Penyediaan infrastruktur sambungan Internet berkelajuan tinggi dan pembukaan ruang keusahawanan di dalam kem-kem tentera boleh menjadi satu lonjakan penting kepada keupayaan warga kem ATM untuk menambah pendapatan dan meningkatkan ekonomi keluarga.

Lebih-lebih lagi aktiviti niaga kini tidak lagi tertumpu pada bazar komuniti atau jualan di tepi jalan.

Pada masa yang sama, kemudahan seperti ini akan membantu memasarkan pelbagai produk sedia yang dibangunkan di dalam kawasan kem-kem seperti madu kelulut, herba, pandan, serai dan ulam raja yang sebelum ini dijual secara konvensional.

Program Ekonomi MADANI ATM
Plak Program Ekonomi MADANI ATM bagi ternakan lebah kelulut dan Taman Herba di Kem Perdana Sungai Besi.

Kesemua hasil tersebut kini boleh menembusi akses pasaran yang lebih luas melalui platform digital.

Secara tidak langsung, program kebajikan warga ATM seperti yang diumumkan oleh Menteri Pertahanan boleh dilihat sebagai satu proses meningkatkan daya dan kualiti hidup keluarga tentera melalui pelebaran peluang penyertaan dalam ekonomi digital.

Impaknya sudah pastilah tidak sekadar bersifat kewangan. Ia akan turut memperkukuh kestabilan, kualiti dan kesejahteraan keluarga tentera sekali gus meningkatkan fungsi dan peranan mereka sebagai penyumbang aktif dalam ekonomi nasional.

Memperkasa ekosistem pertahanan inklusif

Dasar kesejahteraan yang digerakkan oleh MINDEF melalui evolusi pendekatan kebajikan tradisional kepada model yang lebih menyeluruh berteraskan teknologi dan pembangunan ekonomi keluarga ini harus diperluas dan diaplikasikan dalam lebih banyak keadaan.

Langkah ini seiring dengan prinsip ekonomi MADANI yang menekankan nilai kerjasama, kesejahteraan dan pemberdayaan masyarakat sebagai sasaran utama.

Komuniti tentera yang terlibat aktif dalam ekonomi digital dapat menjadi contoh kepada model pembangunan inklusif yang mengimbangi antara kemajuan sosial dan pertumbuhan ekonomi.

Dalam konteks pertahanan menyeluruh, keluarga tentera yang memiliki ketahanan ekonomi sebenarnya menjadi faktor penting dalam memperkukuh kestabilan sosial dan semangat pasukan, selaras dengan pelaksanaan konsep Whole of Government and Society (WoGos) yang sedang digerakkan oleh kerajaan.

Kita harus sedar bahawa kekuatan masa hadapan tidak hanya diukur pada keupayaan aset dan sumber manusia, tetapi juga pada sejauh mana komuniti pertahanan secara keseluruhannya mampu menguasai teknologi serta menyesuaikan diri dengan ekonomi digital yang pesat berubah.

Keupayaan ini mewujudkan asas kedaulatan baharu yang berpaksikan ilmu, kemahiran dan kesejahteraan rakyat, sekali gus memperkukuh daya tahan negara dalam menghadapi cabaran moden.

Pada akhirnya, kekuatan sesebuah negara bukan hanya diukur melalui saiz ekonominya, tetapi sejauh mana rakyatnya mempunyai keupayaan untuk berdiri teguh dalam menghadapi perubahan.

Setiap kemudahan yang disediakan harus mempunyai nilai tambah yang lebih besar untuk membuka ruang dan peluang, meningkatkan kemahiran, menjana pendapatan dan membina daya tahan keluarga.

* Penulis merupakan Penyelaras Teras 3, Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah, PPKI

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Malaysia Tribune

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button